Oliver Kahn menyatakan bahawa Bayern Munich masih kekal dengan pendirian bahawa mereka tidak berminat dengan Cristiano Ronaldo.

Penggempur legenda Portugal itu sah meninggalkan Manchester United selepas kontraknya ditamatkan serta merta oleh kelab sebelum Piala Dunia 2022 bermula.

Ianya gara gara wawancara kontroversi Ronaldo dengan Piers Morgan yang telah mengkritik kelab dan pengurus, Erik Ten Hag.

Ronaldo dilaporkan berminat untuk menyertai Bayern dan mengarahkan ejennya, Jorge Mendes untuk berunding sekali lagi dengan Bayern.

Ianya selepas rundingan pada musim panas lalu gagal dimeterai. Kerana Julian Nagelsmann dilaporkan tidak berminat dengan Ronaldo.

Pemain itu memiliki cerita ego yang tidak disenangi oleh Nagelsmann, ketika dia di Manchester United.

Selain itu, dari segi ekonomi kelab, Bayern tidak mahu membelanjakan jumlah wang terlalu besar untuk pemain yang dibayar £500 ribu seminggu itu.

Selain itu, Nagelsmann tidak yakin Ronaldo akan sesuai dengan taktikalnya. Kehadiran Ronaldo mungkin akan membuatkan Nagelsmann terpaksa mengorbankan falsafah bola sepak mereka dan mencari sistem sesuai dengan Ronaldo.

Beberapa bulan lalu, Oliver Kahn yang merupakan Pengarah Urusan Bayern Munich menegaskan bahawa Bayern tidak berminat dengan Ronaldo kerana banyak faktor diambil kira.

Mereka sudah ada projek sukan yang sedang berjalan lancar ketika ini. Walaupun kehilangan Robert Lewandowski, Bayern Munich yakin bahawa Sadio Mane mampu menjadi pemain yang mengisi kekosongan pemain itu, dan mereka tidak memerlukan Ronaldo.

Kenyataan itu dikeluarkan sebaik sahaja laporan bahawa Jorge Mendes menawarkan Ronaldo kepada Bayern Munich.

Kini Oliver Kahn mengulangi pendirian kelab. Dia berkata:”Saya boleh sahkan bahawa kami tidak berminat mendapatkan Ronaldo.”

“Kami ada mempertimbangkannya, kita semua sukakan Ronaldo, namun strategi kelab adalah berbeza.”

“Kami ada idea yang jelas, falsafah tentang cara menyatukan skuad ini.”

Ronaldo kini sedang dalam misi bersama pasukan kebangsaan Portugal. Dia menyerahkan urusan mencari kelab baharu kepada ejennya.

Beberapa kelab dikaitkan dengan Ronaldo termasuk kelab dari Arab dan juga Chelsea dari England.

Pemilik Chelsea, Todd Boehly masih berminat dengan Ronaldo dan cuba meyakinkan Graham Potter tentang idea mendapatkan pemain itu secara percuma.