Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dibawah kepimpinan baharu telah memulakan kerja untuk mengembalikan Kelantan ke zaman kegemilangan dengan menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan MQ Technology Bhd bagi menubuhkan The Red Warriors (TRW) Sdn Bhd, satu syarikat yang ditugaskan untuk mengurus pasukan Kelantan pada saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Timbalan Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata menerusi perjanjian berkenaan syarikat tersebut telah menyuntik dana sebanyak RM3 juta kepada TRW Sdn Bhd untuk digunakan sebagai modal permulaan.

affandi hamzah
Sumber Gambar: SB

“Menerusi MOU ini, KAFA memegang sebanyak 30 peratus saham dalam TRW Sdn Bhd, manakala 70 peratus lagi oleh MQ Technology Bhd,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Majlis menandatangani MOU antara kedua-dua pihak itu disempurnakan oleh Presiden baharu KAFA, Wan Rahim Wan Abdullah dan Pengarah Eksekutif MQ Technology Bhd, Tong Sian Shyen serta dihadiri oleh barisan kepimpinan exco KAFA.

MoU
Sumber Gambar: Kelantan FA

Tambah Datuk Seri Affandi, MQ Technology Bhd juga bersetuju untuk menyumbang sebanyak RM200,000 kepada KAFA yang akan digunakan untuk membayar gaji pemain. Sumbangan tersebut akan diagihkan kepada pemain sebelum perlawanan menentang UKM FC pada hari ini.

Affandi turut mengesahkan pihaknya juga memberikan perhatian kepada kes mahkamah yang dibawa oleh bekas pemain serta pegawai pasukan itu.

“Kami tidak lari daripada tanggungjawab itu. Kami akan menyelesaikannya bagi mengelakkan pelbagai masalah lain, yang bakal dihadapi. Begitu juga jawatankuasa penajaan kami, sentiasa bekerja keras untuk mencari tajaan bagi memperkukuhkan kewangan bagi saingan musim depan,” ujarnya.