Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) masih menunggu surat rasmi mengenai penarikan diri syarikat My Inspiration Sdn Bhd daripada kerjasama bersama persatuan itu bagi membolehkan KAFA kembali menguruskan pasukan Kelantan dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Timbalan Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata setakat ini pihaknya belum menerima surat rasmi daripada syarikat terbabit walaupun perkara itu sudah diketahui umum.

“Kami hanya mengetahui perkara ini melalui berita dan saya difahamkan ada kenyataan dikeluarkan pihak tertentu berkaitan perkara ini (tarik diri). Masa terdekat ini, kami mengambil pendekatan tunggu apa-apa berkaitan isu itu secara rasmi dan bertulis,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Sebelum ini, My Inspiration Sdn Bhd menguasai 70 peratus saham dalam Kelantan Red Warriors Sdn Bhd, syarikat yang ditubuhkan menerusi kerjasama itu bagi mengatasi kemelut kewangan yang dihadapi KAFA. Baki 30 peratus dimiliki oleh presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan.

Khamis lalu, Ketua Pegawai Eksekutif KRW Sdn Bhd, Ahmad Fazli Mohammad mengumumkan beliau meletak jawatan kerana kecewa dengan tindakan KAFA yang dianggap tidak profesional dalam proses pengalihan kuasa termasuk penyerahan beberapa dokumen penting berkaitan pemain dan pasukan.

Penarikan diri My Inspiration ini nyata meletakkan pasukan Kelantan di kedudukan bahaya dimana mereka menghadapi krisis kewangan yang serius.

Para pemain dikhabarkan sudah dua bulan tidak menerima sebarang gaji dan peminat bimbang Kelantan akan mengikut jejak langkah Perlis yang disingkirkan daripada saingan Liga Perdana.