Pasukan Johor Darul Ta’zim terpaksa menelan hakikat pahit dimana mereka terkeluar daripada saingan Piala FA 2019 setelah tewas kepada PKNS FC dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin semalam.

Pengurus pasukan JDT, Luciano Figueroa menyatakan kad merah yang dilayangkan terhadap Kiko Insa seawal minit ke-11 nyata mengubah perancangan pasukan yang telah ditetapkan dan menyebabkan pasukannya tewas.

Kiko Insa
Sumber Gambar: JST

“Ya perlawanan ini berubah selepas kad merah yang dilayangkan kepada Kiko. Kami sedar perlawanan pada malam ini akan menjadi satu perlawanan yang sukar. Namun, ianya semakin sukar apabila kami beraksi dengan 10 pemain.

“Kami melakukan banyak perubahan dalam kesebelasan utama bagi menghadapi PKNS. Kami tewas malam ini namun kami perlu melihat ke hadapan dan berikan fokus kepada perlawanan Liga Super selepas ini. Pasukan akan memberikan yang terbaik sepertimana yang biasa dilakukan,” kata Luciano.

Jaringan penyerang import PKNS, Kpah Sherman pada awal separuh masa kedua sudah cukup memastikan pasukan bimbingan Datuk K.Rajagopal ini melangkah ke peringkat suku akhir.

Bagi Johor Darul Ta’zim pula, mereka gagal untuk melepasi peringkat kalah mati saingan Piala FA buat kali ketiga berturut-turut.