Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Liga domestik Korea Selatan, K-League membidas juara Serie A musim 2018/2019, Juventus dan menggelar kelab tersebut sebagai ‘penipu’ kerana tidak menurunkan pemain bintang mereka, Cristiano Ronaldo pada perlawanan persahabatan menentang K League All Stars yang berlangsung di Seoul minggu lalu.

K-League berasa ‘kecewa dan ditipu hidup-hidup’ dengan tindakan Juventus. Mereka turut meminta The Old Lady untuk memohon maaf kepada badan pengelola Liga itu khususnya kepada peminat setelah mereka menyaksikan Ronaldo hanya memanaskan bangku simpanan pada perlawanan tersebut.

Seramai 65,500 peminat yang hadir ke stadium menyuarakan rasa tidak puas hati mereka kerana bukan sahaja tidak dapat menyaksikan bekas pemain Real Madrid itu beraksi, malah perlawanan juga terpaksa ditangguh selama sejam kerana Juventus tiba lewat ke stadium.

Cristiano Ronaldo

Ronaldo hanya duduk memanaskan bangku simpanan pada perlawanan Jumaat minggu lalu.
Sumber Gambar: Goal.com

Selepas penerbangan yang membawa pemain serta pegawai Juventus ditunda, kelab tersebut meminta pegiring polis setibanya di lapangan terbang dan mahu masa perlawanan dijadikan kepada 40 minit setiap separuh masa – Satu permintaan yang disifatkan K-League sebagai ‘mengarut dan menghina’.

“Kami berasa kecewa dan seperti ditipu oleh tindakan Juventus yang kami anggap tidak tahu malu ini,” menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh K-League.

Pihak K-League juga tidak berpuas hati dengan maklum balas yang diberikan oleh Juventus dimana mereka menyatakan kelab yang dilatih oleh Maurizio Sarri itu tidak meminta maaf atau menjelaskan perkara yang terjadi. Badan tersebut turut menuduh Juventus melanggar kontrak yang sudah ditandatangani dengan tidak menurunkan Ronaldo. Pada masa yang sama, seramai 2000 peminat mahu memfailkan saman terhadap agensi yang menganjurkan perlawanan terbabit.

Insiden melibatkan Cristiano Ronaldo ini bukan saja menarik perhatian peminat bola sepak di Korea Selatan namun ianya juga mengundang ahli politik negara tersebut memberikan respon. Ahli parlimen pembangkang Na Kyung-won dilaporkan berkata: Ada satu perkara yang sama antara (pemimpin Korea Utara) Kim Jong Un dan Ronaldo. Kedua-duanya merasakan Korea Selatan sebagai ‘pushover’.

Anda Mungkin Suka

© 2022 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group