• K League 2020 akan bermula pada hari jumaat ini, 8 Mei 2020.
  • Jumlah perlawanan dikurangkan dan diadakan secara tertutup tanpa kehadiran penonton.

Badan pengendali Liga Professional Korea Selatan (K League) semalam mengumumkan senarai media rasmi yang akan menyiarkan semua perlawanan liga tersebut bermula pada 8 Mei ini selepas ditangguhkan lebih 2 bulan susulan penularan wabak pandemik COVID-19.

Menurut laporan daripada sportbusiness, K League berjaya menjual hak penyiaran kepada 10 negara antaranya China, Hong Kong, Croatia, Australia, Perancis, Itali dan Amerika Syarikat.

Malaysia turut berada dalam senarai negara yang mendapat hak penyiaran tersebut melalui Astro. Para peminat bola sepak tempatan boleh menyaksikan perlawanan K League di saluran Astro Supersport (CH811 HD/CH831) dan melalui aplikasi Astro GO.

Perkembangan itu disahkan oleh Ketua bahagian penyiaran sukan Astro, Lee Choong Khay melalui laporan dalam Stadium Astro.

“Sebagai negara yang meminati sukan, kami memahami bahawa para peminat sukan di Malaysia telah lama tidak menonton perlawanan secara langsung kerana wabak COVID-19, yang telah melanda seluruh dunia.

“Kami gembira dapat membawa anda aksi K League 1 melalui tontonan di rumah dan juga di hujung jari anda melalui Astro GO, dan kami berharap rakyat Malaysia dapat menikmati liputan langsung kami,” kata Lee Choong Khay.

Juara bertahan, Jeonbuk Hyundai Motors akan menentang Suwon Samsung Bluewings sebagai perlawanan pembukaan di Jeonju pada hari jumaat ini pada pukul 6 petang waktu Malaysia.

Selain itu, K League juga berjaya mencapai persetujuan dengan beberapa syarikat media digital seperti Dugout (Singapore), 433 (Belanda) dan Copa90 (UK) untuk membuat liputan mengenai semua perlawanan liga tersebut.

Aksi pertama K-League 1 sepatutnya bermula pada 29 Februari lalu namun peningkatan kes COVID-19 secara mendadak di Korea Selatan memaksa mereka menangguhkan semua perlawanan yang membabitkan 12 pasukan.

Jumlah perlawanan telah dikurangkan kepada 27 perlawanan berbanding 38 perlawanan pada musim lepas dengan pasukan tercorot akan diturunkan pangkat ke K-League 2. Saingan divisyen 2 itu turut akan bermula pada 8 Mei depan.

Menurut Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu yang ditetapkan, jika mana-mana pemain atau jurulatih pasukan didapati positif COVID-19, pasukannya tidak dibenarkan beraksi dalam perlawanan yang seterusnya selama 2 minggu.

Badan pengendali liga itu juga membenarkan setiap pasukan mengadakan perlawanan persahabatan selepas melihat situasi semasa wabak pandemik di Korea Selatan menunjukkan tanda pengurangan.

Baca artikel lain untuk mengetahui perkembangan liga sekitar Asia yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19.Β 

RASMI: Thai League Ditunda Sehingga Bulan September 2020 Dan Liga Dijangka Tamat Pada Bulan Mei 2021

Liga Super China 2020 Akan Bermula Pada Bulan Julai

Saingan J. League Akan Kembali Pada 9 Mei 2020

Liga Turkmenistan Kembali Bersambung Minggu Ini Dengan Kehadiran Penonton