Ketua Jurulatih Negeri Sembilan FC, K Devan akhirnya pasti dapat tidur lena selepas berjaya memenangi perebutan kejuaraan tiga penjuru melibatkan Sarawak United FC dan Terengganu FC II (TFC II) sekali gus membolehkan skuad bimbingannya menjulang trofi Liga Premier Malaysia 2021.

Bagaimanapun, Devan mengakui persembahan anak-anak buahnya sedikit longgar ketika melayan kunjungan PDRM FC di sebalik melihat kemenangan mutlak terhadap skuad kendalian Wan Rohaimi Wan Ismail di laman sendiri.

Jelas Devan, beliau akui tidak senang melihat dengan persembahan Negeri Sembilan FC selepas dibocori sebanyak dua kali tetapi perasaannya kembali ceria selepas keputusan 4-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

“Saya berpendapat kita bermula dengan baik (menentang PDRM FC) selepas mengatasi (perlawanan dengan kedudukan) 3-0 dan dua gol yang kita bolos itu mungkin saya rasa saya kurang berpuas hati.

“Itu menyebabkan ‘mood’ saya berubah sedikit tetapi selepas itu kita berjaya lagi (menjaringkan gol keempat).

“Tahniah saya ucapkan kepada Negeri Sembilan FC kerana berjaya (memenangi Liga Premier) dan jika kita lihat pada musim ini, Negeri Sembilan FC cuba konsisten dan pemain-pemain telah berusaha keras,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan.

Dalam perkembangan sama, Devan menyifatkan bahawa Negeri Sembilan FC masih memiliki potensi besar dalam kempen Liga Super 2022 biarpun beliau banyak melakukan perubahan drastik dalam pasukan bimbingannya.

Berbekalkan pengalaman-pengalaman pemain senior, Devan yang sebelum ini telah membantu Negeri Sembilan FC menjulang kejuaraan Liga Super pada tahun 2005, yakin bahawa Negeri Sembilan FC dapat mengekalkan persembahan positif terutama menjelang kejohanan TM Piala Malaysia 2021 yang bakal membuka tirai pada 26 September 2021.

“Bagi saya, pasukan kali ini umpama satu keluarga yang cukup kuat dan kita mempunyai sembilan pemain senior yang mempunyai karakter cukup baik seperti Mohamad Zaquan Adha, Nasrullah Haniff dan lain-lain lagi.

“Merekalah yang menyatukan pasukan ini dan memberikan bimbingan kepada pemain-pemain muda.

“Pada awal saya bersama Negeri Sembilan FC, saya masih berada di fasa awal dalam karier kejurulatihan saya dan saya berjaya bersama Negeri Sembilan FC.

“Saya hanya tukarkan tiga pemain daripada pasukan 2020 dan sehingga kita menubuhkan pasukan ini, jadi cabaran itu sangat besar kerana pasukan baharu terdiri daripada semua pemain baharu dan juga kita perlu layak ke Liga Super.

“Namun kali ini saya datang dengan misi selepas pasukan ini tidak layak ke Liga Super dalam tempoh seketika dan bila saya menyertai pasukan ini, saya datang dengan tanggungjawab yang besar apabila kita perlu membuat perubahan yang drastik kepada pasukan tahun lalu,” ujarnya.

Bagi kempen TM Piala Malaysia 2021, Negeri Sembilan FC akan menyertai Kumpulan C bersama Kedah Darul Aman FC, Melaka United FC dan pasukan yang menduduki tangga kelima Liga Premier.

Penentuan kedudukan tangga kelima masih terbuka buat PDRM yang mencatatkan 26 mata dan Kelantan United yang mengutip 23 mata.

Namun Kelantan United dapat mengesahkan slot kelima wakil Liga Premier ke TM Piala Malaysia 2021 sekiranya mereka mencatatkan
keputusan sekurang-kurangnya 2-0 ke atas Kuching City FC pada aksi perlawanan tertunda, 24 September ini.