Ketua jurulatih Negeri Sembilan, K. Devan memuji persembahan yang ditampilkan anak buahnya meskipun tunduk 0-1 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Liga Super 2022 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi.

Beraksi baik dengan mencipta beberapa peluang serta kental menyerap asakan lawan sehingga 99 minit perlawanan, tuan rumah akhirnya hampa dengan jaringan dramatik dihasilkan pemain import dari Argentina, Fernando Forestieri.

Kekalahan itu menyaksikan rekod tanpa kalah Negeri Sembilan lebur dan kedudukan teratas turut dirampas juara lapan kali saingan Liga Super tersebut.

“Kita bermain macam biasa, semua perlawanan kita main macam ini. Sebelum perlawanan ada saya tengok ada laporan-laporan yang kita akan ‘parking bus’. Jadi kita tak ‘parking bus’ hari ini, kita main macam biasa,” ujar Devan bercakap dalam sidang media selepas tamat aksi bertemu JDT.

“Kita tahu JDT adalah sebuah pasukan yang bagus. Mereka berada di tahap yang berbeza. Tetapi saya merasakan anak buah saya hari ini mempamerkan karakter sebenar mereka dan cara mereka bermain bola sepak.”

“Saya memberikan tabik hormat kepada pemain saya dengan prestasi yang mereka tampilkan. Saya berasa bangga di atas prestasi setiap pemain pasukan NSFC.”

“Kami perlu untuk lebih proaktif, kami tidak boleh bermain dengan pasukan yang bagus dengan cara ‘reaktif’. Hanya mengikuti sahaja rentak mereka dan kita kemudiannya kita beri tindak balas, ia sangat sukar.”

“Anda perlu untuk proaktif dalam mengambil pendekatan taktikal jadi anda boleh memberikan cabaran kepada mereka. Jadi saya rasa kami bermain satu perlawanan yang proaktif.”

“Kami tidak hanya bertahan sepenuh masa malah saya merasakan kami lebih bertahan dengan baik berbanding pasukan lawan. Kami mencipta peluang tetapi kami tidak berjaya menyempurnakannya,” tambah K. Devan lagi.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia musim ini melalui pautan dibawah.

Lebih 22,000 Penyokong Telah Hadir Menyaksikan Perlawanan Derbi Selatan Di Stadium Paroi

Zhafri Yahya Akui Gol Lawan Penang Yang Tercantik Pernah Dihasilkan

Khyril Muhymeen Anggap Semangat Tidak Mahu Kalah Berjaya Kecewakan Kedah