Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC, K. Devan lebih menitikberatkan tahap pemulihan kecergasan pemain ketika ini berbanding tahap prestasi mereka dalam saingan Liga Premier 2021 bagi memastikan pasukan dapat mengekalkan rekod bersih tanpa kalah setakat ini.

Negeri Sembilan kini kembali menduduki tangga teratas liga selepas menang 2-0 ke atas Perak FC II dalam aksi yang berlangsung di Stadium Perak, semalam sekaligus menyaksikan mereka masih tidak mengalami sebarang kekalahan selepas empat perlawanan.

Walaubagaimanapun, Devan menyifatkan beliau masih belum dapat menilai sejauh mana tahap prestasi barisan pemain khususnya pemain import baharu memandangkan jadual perlawanan yang agak rapat dalam satu minggu dan apa yang penting untuknya adalah bagaimana mereka menjaga tahap kecergasan selepas sesuatu perlawanan.

Ini kerana, bekas pengendali PJ City FC ini enggan anak buahnya berdepan prestasi tidak konsisten ekoran tahap kecergasan yang tidak memuaskan dan mereka perlu bijak untuk menyesuaikan diri dengan baik dalam apa jua keadaan sekali pun.

“Sekarang ini, saya nak menilai prestasi mereka agak sukar kerana jadual perlawanan yang dekat-dekat dan sekarang saya hanya nak tengok proses pemulihan kecergasan mereka sama ada mereka ini (pemain import) pernah atau tidak berdepan dua perlawanan dalam satu minggu.

“Mungkin ini merupakan sesuatu yang baharu untuk mereka, tetapi kalau nak tengok sumbangan mereka daripada segi komitmen, tiada masalah.

“Secara keseluruhan, saya boleh katakan saya berpuas hati dengan mereka semua dan bagaimana mereka beraksi dengan bersungguh-sungguh dalam apa jua keadaan sekalipun, baik beraksi di waktu petang, dengan cuaca hujan lagi, jadi syabas saya ucapkan kepada pemain untuk pencapaian setakat ini”, jelasnya.

Dalam pada itu, Devan turut menegaskan perlawanan kelima berdepan Skuad Projek FAM-MSN pada Ahad ini cukup penting untuk mereka memastikan rekod kemenangan ini dapat diteruskan sebelum berehat bagi memberi laluan kepada panggilan skuad kebangsaan.

Nyata, perlawanan itu tidak boleh dipandang mudah yang menyaksikan skuad kendalian Yusri Che Lah itu semestinya dahagakan kemenangan pertama mereka selepas empat kekalahan berturut-turut setakat ini.

“Selepas ini kami akan berdepan skuad Projek FAM-MSN dan ini perlawanan terakhir sebelum kita berehat sekejap untuk bagi laluan kepada pasukan kebangsaan.

“Jadi, sudah tentu kami ingin pastikan kemenangan ini dapat dikekalkan dan harap pasukan dapat menunjukkan persembahan yang lebih baik untuk kami mengutip tiga mata”, tambah K. Devan lagi.

Saingan Liga Premier 2021 ini ketika ini menyaksikan Negeri Sembilan kekal di tangga teratas manakala Sarawak United FC yang juga masih bersih rekod tanpa kalah berada di kedudukan kedua dengan 9 mata dan Kelantan FC di tangga ketiga selepas seri tanpa jaringan berdepan Terengganu FC II, Selasa lalu.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah:

Kurniawan Dwi Yulianto Diberi Amaran Keras Ekoran Prestasi Hambar Sabah

Adakah Penalti Ke-2 JDT Sepatutnya ‘Retake’, Kedudukan Kaki Khairulazhan Jadi Tanda Tanya.

Karsten Neitzel Puas Hati Dengan Prestasi Pemain, Tegaskan Momentum Wajib Diteruskan