CEO Juventus, Maurizio Arrivabene mengesahkan bahawa Paulo Dybala tidak akan ditawarkan sebarang kontrak lagi dan boleh pergi secara percuma pada akhir musim ini.

Sebelum ini Dybala dan Juventus gagal mencapai kesepakatan pada kontrak baharu. Dybala jelas berminat untuk terus kekal bersama Juventus. Namun Max Allegri tidak dapat memberikan jaminan bahawa pemain itu akan menjadi pemain kesebelasan utama setiap minggu.

Kemudian Juventus akhirnya memutuskan bahawa Dybala sudah tidak lagi menjadi pemain penting mereka. Sebelum ini Juventus menganggap kontrak Dybala harus menjadi salah satu keutamaan mereka.

Namun keputusan akhirnya dibuat apabila Juventus memutuskan untuk mendapatkan Dusan Vlahovic pada Januari lalu.

Berita ini pastinya mengejutkan Dybala yang dikatakan sudah mencapai kesepakatan secara verbal pada Oktober tahun lalu dengan Juventus. Cuma kelab tidak memberikan tawaran rasmi atas beberapa pertimbangan.

Antaranya adalah, pertimbangan tentang projek jangka masa panjang. Adakah mereka sedia menjadikan Dybala sebagai teras kepada projek tersebut?

Bianconeri nampaknya memutuskan untuk berpisah dengan Dybala selepas 7 tahun bersama.

Bercakap kepada TuttoMercatoWeb, Arrivabene berkata: “Paling penting adalah perubahan pada perancangan Juventus untuk tidak memperbaharui kontrak Dybala. Namun sebelum ini usaha kami [untuk berunding kontrak baharu dengan Dybala] adalah ikhlas.”

“Tetapi dengan pembelian yang kami buat pada Januari dengan ketibaan Vlahovic, kedudukan Paulo Dybala bukan lagi menjadi teras kepada projek kami. Oleh sebab itulah kami membuat keputusan seperti ini.”

“Parameter sudah berubah, saya sudah bercakap tentang perkara ini, dan tidak ada seorang pun di kalangan kami dalam kelab Juventus mempersoalkan kualiti Paulo.”

“Ada pertimbangan dibuat berkaitan penampilan [minit perlawanan], tempoh kontrak dan juga pertimbangan dari segi kewangan.”

“Kami akhirnya membuat keputusan mutlak pada Januari dan inilah dia. Boleh sahaja Juventus membuat tawaran yang lebih rendah, namun itu adalah sesuatu yang biadap kepada Paulo. Keputusan sudah dibuat, pertemuan antara kami [kelab dan Paulo Dybala] adalah penuh ramah mesra, jelas dan saling menghormati.”

Pemain antarabangsa Argentina berusia 28 tahun itu pasti akan menjadi pemain ejen bebas yang panas sebaik sahaja pengumuman itu dibuat. Antara kelab yang sudah menyediakan tawaran termasuk Inter Milan selain daripada beberapa kelab Sepanyol dan England dijangka akan turut membuat tawaran.