Jutawan Switzerland, Hansjorg Wyss mendedahkan beliau bersama beberapa orang rakannya telah ditawarkan oleh pemilik Chelsea, Roman Abramovich untuk membeli kelab gergasi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) tersebut.

Berikutan serangan Rusia terhadap Ukraine yang jelas mempengaruhi banyak perkara itu menyebabkan Abramovich juga berada dalam tekanan memuncak kerana beliau merupakan proksi dan teman rapat Presiden, Vladimir Putin.

Krisis yang menyebabkan dirinya turut menjadi sasaran ahli politik Britain itu menyebabkan Abramovich memilih untuk menyerahkan tanggungjawab dalam mengurus serta mengendalikan Chelsea kepada yayasan kelab tersebut.

Melihatkan kepada kesukaran bakal dihadapi, Abramovich mungkin sudah mula memikirkan langkah terbaik bagi menyelamatkan Chelsea daripada ketidaktentuan ekoran masalah yang timbul ini dengan menjual pegangan sahamnya.

“Abramovich merupakan salah seorang daripada penasihat dan teman rapat kepada Putin. Seperti sistem oligarki yang lain , dia juga pastinya berada dalam keadaan panik,” ujar Wyss menurut laporan dikeluarkan Goal.

“Abramovich kini cuba untuk menjual kesemua villa yang dimilikinya di England. Dia juga mahu meninggalkan Chelsea dengan pantas. Saya dan tiga orang lagi telah menerima tawaran pada Selasa untuk membeli Chelsea daripada Abramovich.”

“Saya perlu untuk menunggu lima hari lagi. Abramovich meletakkan harga yang terlalu tinggi. Anda tahu, Chelsea berhutang dengannya sebanyak £2 bilion, tetapi Chelsea tiada duit.”

“Ini bermakna, sesiapa yang mahu membeli Chelsea, dia perlu membayar pampasan kepada Abramovich. Setakat hari ini, kami tidak tahu harga yang tepat.”

“Saya boleh membayangkan untuk bermula [memiliki] Chelsea bersama rakan kongsi. Tetapi saya perlu meneliti syarat umum terlebih dahulu. Tetapi apa yang boleh katakan, saya tidak akan melakukan perkara sebegini seorang diri.”

“Sekiranya saya membeli Chelsea, saya akan bersama konsortium yang mengandungi empat atau tujuh pelabur,” tambah Wyss lagi.

Wys, 86 tahun merupakan jutawan dengan kekayaan bernilai $5 bilion yang merupakan pengasas, bekas presiden dan pengerusi Synthes USA, pengeluar peranti perubatan.

Beliau dinamakan sebagai salah seorang dermawan dalam dunia apabila telah mendermakan jutaan wang untuk tujuan alam sekitar dan Yayasan Wyss kepunyaannya turut memiliki aset bernilai $2 bilion.

Sumber