Pemain muda, Justin Hoh yang dilihat mempunyai masa depan cerah untuk tembus ke skuad utama badminton negara jelas semakin menunjukkan peningkatan terutamanya daripada segi ranking dan corak permainannya.

Hal ini kerana pemain yang bakal berusia 19 tahun pada 1 April nanti semakin hampir untuk berada dalam senarai ranking 50 pemain terbaik dunia.

Lebih menarik untuk diperkatakan, Justin hanya berada di kedudukan ke-723 dunia pada Mei tahun lalu dan dalam ranking terkini yang dikemaskini Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menyaksikan beliau sudah pun berada di tangga ke-59.

Naik 11 anak tangga daripada kedudukan ke-70 pada minggu lalu, Justin semakin menghampiri dua seniornya yang kini merupakan pemain ‘independent’ negara iaitu Soong Joo Ven [50] dan Cheam June Wei yang berada di kedudukan ke-41.

Malah, Justin juga ketika ini sudah berada pada ranking lebih tinggi berbanding dua lagi pemain yang sebelum ini dibawa menyertai kejohanan Piala Sudirman dan Piala Thomas iaitu Leong Jun Hao [79] dan Aidil Sholeh Ali Sadikin [82].

Kredit Foto: Persatuan Badminton Malaysia (BAM)

Peningkatan ranking yang dinikmati itu hadir susulan aksi cemerlang ditampilkan Justin Hoh pada tahun ini dimana beliau menjuarai Kejohanan Cabaran Antarabangsa Uganda 2023 serta layak ke perlawanan akhir Kejohanan Cabaran Antarabangsa Fajr Iran 2023.

Selain itu, anak kelahiran Kuala Lumpur ini juga dua kali melangkah ke separuh akhir iaitu pada Kejohanan Antarabangsa Estonia dan Ruichang China Masters yang berstatus Super 100.

Sekiranya disingkapkan perjuangan pada 2022 pula, Justin berjaya memenangi empat kejohanan iaitu Kejohanan Antarabangsa Bonn, Terbuka Croatia, Kejohanan Remaja Siri Antarabangsa India dan Kejohanan Cabaran Antarabangsa Malaysia di Ipoh.

Sekiranya bekas anak buah Datuk Misbun Sidek ini terus mempamerkan prestasi terbaik, tidak mustahil beliau akan menjadi pelan sandaran terbaik buat Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong terutamanya dalam acara berpasukan.

Sumber