Tidak sampai 5 bulan bimbing skuad kebangsaan UAE, pengendali yang berasal dari Colombia, Jorge Luis Pinto dilaporkan bakal ditamatkan kontrak sebagai ketua jurulatih selepas pasukannya mempamerkan prestasi buruk dalam perlawanan persahabatan antarabangsa.

Minggu lalu, UAE tewas 1-3 kepada pasukan di ranking 71 dunia, Bahrain dalam perlawanan persahabatan di Dubai. Ini adalah kekalahan kedua UAE dalam 3 perlawanan yang telah diaturkan sejak dibawah kendalian Luis Pinto. Sebelum ini, mereka kalah 1-2 kepada Uzbekistan pada 12 Oktober lepas.

Keputusan itu mengundang rasa tidak puas hati daripada Persatuan Bola Sepak UAE (UAE FA) kerana ia boleh memberi kesan kepada kedudukan ranking FIFA dan menjejaskan misi mereka untuk berada dalam kelompok 100 dunia.

Menurut laporan daripada portal bola sepak UAE iaitu Ahdaaf, tempat Jorge Luis Pinto akan digantikan oleh jurulatih dari Croatia, Zoran Mamic. UAE FA dijangka akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat.

Pinto merupakan jurulatih kedua dipecat pada tahun ini selepas Ivan Jovanovic turut menerima nasib yang sama pada bulan April lalu.

Malah, kedua-dua jurulatih ini tidak sempat menghadapi perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Malaysia yang ditangguhkan pada tahun depan susulan penularan wabak COVID-19.

Zoran Mamic kini merupakan jurulatih kelab gergasi Croatia, Dinamo Zagreb. Beliau dipilih sebagai ketua jurulatih UAE berdasarkan pengalamannya membimbing kelab Al Ain pada musim 2017 hingga 2019.

Malah, beliau juga pernah bawa Al Ain muncul sebagai naib juara Piala Dunia kelab pada tahun 2018. Mamic juga pernah membimbing kelab gergasi Arab Saudi, Al Hilal selama satu musim sebelum kembali ke Croatia.

UAE terdesak untuk melantik jurulatih terbaik dengan objektif mencapai dua sasaran badan induk itu iaitu layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022 dan membentuk pasukan mantap menghadapi Piala Dunia 2026.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

Pemain Syria, Omar Khribin Digantung Seumur Hidup Oleh FASF

Pemain Thai League Ini Sumbat Gol Persis Jaringan David Beckham Ketika Manchester United Bertemu Wimbeldon Pada 1996

Jurulatih Bali United Tak Tahu Pemainnya Diburu Oleh Kelab Liga Malaysia