Pengendali dari Jepun, Tatsuma Yoshida telah mengambil keputusan untuk letak jawatan sebagai Ketua Jurulatih skuad kebangsaan Singapura apabila gagal membawa pasukan itu mara ke final Piala Suzuki AFF 2020 selepas tewas kepada Indonesia beberapa hari lalu.

Perkembangan tersebut disahkan oleh Straits Times dan diumumkan sendiri oleh Menteri Kebudayaan, Komuniti dan Belia, Edwin Tong dalam satu majlis penghargaan di Stadium Jalan Besar hari ini.

Walaupun mempunyai baki kontrak sehingga Disember 2022, Yoshida mengambil keputusan menamatkan kontrak tersebut untuk kembali bersama keluarga di Jepun.

“Walaupun saya akan pulang ke Jepun, saya meninggalkan ‘keluarga’ kedua saya di sini dengan hati yang amat berat. Saya sentiasa mempercayai dan mempunyai keyakinan penuh terhadap pemain-pemain ini dan saya tahu mereka mempunyai potensi untuk menjadi antara yang terbaik di rantau ini selagi mereka terus percaya pada diri mereka sendiri.

“Lebih penting lagi, semua orang di Singapura, daripada pihak berkepentingan kerajaan, media dan yang paling penting, peminat, perlu terus menyokong pasukan dengan sepenuh hati supaya kita semua dapat melihat mereka maju ke peringkat seterusnya.

“Saya akan terus menyokong bola sepak Singapura dari jauh dan menjadi harapan saya bahawa ia hanya akan berkembang dari kekuatan ke kekuatan pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

Dalam satu interview dengan Straits Times, beliau turut mengesahkan akan kembali ke negaranya kerana telah menerima tawaran daripada beberapa kelab Jepun termasuk kelab liga divisyen 2, Ventforet Kofu yang pernah dilatih olehnya pada tahun 2017.

Yoshida dilantik sebagai Ketua Jurulatih Singapura pada bulan Mei 2019. Sepanjang dibawah bimbingannya, Singapura telah mencatat keputusan 6 kemenangan, 4 seri dan 10 kekalahan dalam 20 perlawanan antarabangsa yang diharungi.

Mereka telah menamatkan saingan peringkat kumpulan Piala Suzuki AFF 2020 di tangga kedua dan layak ke separuh akhir sebelum tewas kepada Indonesia dengan aggregat 5-3 dalam perlawanan yang cukup dramatik.

Perlawanan penting yang bakal diharungi oleh pasukan itu selepas ini ialah saingan Kelayakan Piala Asia 2023 pada tahun depan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan pasukan lain dalam saingan Piala Suzuki AFF 2020 melalui pautan dibawah. 

Presiden AFF Setuju Guna Teknologi VAR Dalam Saingan Piala Suzuki AFF 2022

Kerajaan Sulawesi Selatan Tawarkan 1 Unit Rumah Kepada Asnawi Dan Irfan Jaya Jika Muncul Juara Piala AFF 2020

Bonus Lebih RM3.2 Juta Menanti Thailand Jika Muncul Juara Piala Suzuki AFF 2020