Beberapa ketua jurulatih daripada pasukan Liga Malaysia kelmarin sempat membuat lawatan ke Pusat Sukan dan Sains Eksesais Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur bagi mengkaji secara mendalam bagaimana sains sukan boleh memainkan peranan dalam menyumbang kepada kejayaan bola sepak di Malaysia.

Lawatan itu adalah sebahagian daripada Kursus Kejurulatihan Diploma Profesional AFC 2019-2020 bagi modul ketiga yang melibatkan seramai 25 jurulatih dari dalam dan luar negara sejak 20 Ogos hingga 30 Ogos ini di Hotel Armada, Petaling Jaya.

Menurut kenyataan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), modul kali ini dikendalikan oleh instruktur UEFA dari Denmark, Flemming Mark Serritslev dan dibantu oleh Ketua Unit Pendidikan Jurulatih FAM, David Abela.

Antara jurulatih pasukan Liga Malaysia yang terlibat ialah Benjamin Mora (JDT), Dollah Salleh (Pahang), Mehmet Durakovic (Perak), Aidil Sharin Sahak (Kedah), Abu Bakar Fadzim (PKNP FC), Nidzam Jamil (FELDA Utd), Nafuzi Zain (Terengganu FC) serta Yusri Che Lah (Kelantan).

68730180_2339572042806213_4565453976840962048_n
FOTO: FAM

Mereka juga mempelajari kepentingan ujian dan pengukuran untuk penyelidikan yang baik berkaitan dengan bola sepak, tuntutan fizikal, komponen kecergasan dan ujian yang sesuai untuk pemain bola sepak yang disampaikan oleh pensyarah kanan Universiti Malaya, Dr Ashril Yusof.

Ketua-ketua jurulatih itu juga turut diberi demonstrasi beberapa ujian latihan oleh pensyarah kanan dan penyelaras untuk Program Sarjana Kekuatan dan Kondisi Universiti Malaya, Dr Victor Selvarajah, iaitu ujian Wingate yang mengukur kapasiti larian pecut yang mengalir ke dalam rizab tenaga glikolitik, ujian kekuatan menggunakan peralatan isokinetik yang menekankan kepentingan pengujian dan pengukuran berkala dalam bola sepak, untuk memantau keberkesanan latihan serta mencegah kecederaan.

69220770_2339572206139530_6183607786354507776_n
FOTO: FAM

Seorang lagi pensyarah kanan iaitu Dr Rizal Razman menunjukkan kepada ketua-ketua jurulatih tersebut bagaimana sistem tangkapan gerakan dapat memberikan data yang cukup berguna dengan menilai cara pelarian pemain untuk mengesan risiko kecederaan yang berpotensi dan tidak dikenalpasti.

Ianya jelas sekali menunjukkan bahawa bolasepak Malaysia memerlukan penglibatan lebih ramai pakar sains sukan. Sains sukan merupakan satu cabang dalam sains yang mengkaji respons manusia terhadap aktiviti fizikal.

68749031_2339572052806212_1903249825906819072_o
FOTO: FAM

Sains sukan bukanlah satu bidang khas yang melatih seseorang supaya menjadi cergas dan cerdas dalam melakukan suatu permainan ataupun aktiviti dan seterusnya ditingkatkan prestasinya. Sebaliknya ia membantu memahami tindak balas badan manusia seperti organ, sistem saraf, sistem otot, dan tenaga dalam badan semasa melakukan sesuatu sukan.

Selain sains sukan, mereka turut didedahkan dengan pelbagai topik termasuk perubatan dalam sukan, kelesuan, pelesenan kelab, pakar diet sukan, kepimpinan, integriti dalam bola sepak Asia dan ceramah mengenai Kejuaraan AFC 2019 oleh Timbalan Pengarah Teknikal Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Wim Koevermans.