Skuad Harimau Malaya menerima tamparan hebat menjelang saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 apabila jurulatih kecergasan, Dr Gokhan Kandermir dikhabarkan telah meninggalkan pasukan kebangsaan.

Perkara ini dikongsikan oleh Ekor Harimau Malaya di laman media sosial Instagram mereka dimana Dr Gokhan Kandermir mengundurkan diri selepas 10 bulan bersama skuad Harimau Malaya.

https://www.instagram.com/p/CkUT3hLS0bW/?igshid=YmMyMTA2M2Y=

“Sudah tiba masanya untuk mengucapkan selamat tinggal selepas 10 bulan yang tidak dapat dilupakan di Malaysia. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ketua jurulatih, kakitangan kejurulatihan, pemain dan keluarga FAM dengan sepenuh hati. All the best Malaysia,” dipetik dari perkongsian Ekor Harimau Malaya.

Dr Gokhan berada dalam staf kejurulatihan Kim Pan-gon ketika jurulatih dari Korea Selatan itu diberi tanggungjawab sebagai pengendali pasukan negara pada Februari lalu.

Sepanjang bertugas bersama pasukan kebangsaan, Dr Gokhan membantu para pemain untuk meningkatkan tahap kecergasan dan perbezaan dapat dilihat ketika pasukan negara beraksi.

Selain itu, antara kejayaan yang diraih oleh jurulatih yang berasal dari Turki itu ialah membawa Harimau Malaya melayakkan diri ke saingan Piala Asia pada tahun hadapan secara merit.

Selain itu, beliau bersama Pan-gon juga berjaya mengejutkan Thailand dalam saingan King’s Cup untuk mara ke pusingan akhir sebelum tewas kepada Tajikistan menerusi penentuan sepak penalti.

Sehingga artikel ini ditulis, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih belum mengesahkan pengunduran diri Dr Gokhan daripada pasukan kebangsaan.

Ketika ini, ada seorang jurulatih kecergasan dari Korea Selatan iaitu Park Ji-hyeon dan berkemungkinan besar beliau akan diletakkan sebagai pengganti kepada Dr Gokhan.