Skuad Kuala Lumpur akan beraksi dalam saingan Liga Super musim depan apabila mengesahkan kedudukan menerusi slot kedua selepas Pulau Pinang yang muncul sebagai juara Liga Premier.

Bagaimanapun, jurulatih pasukan itu, Nidzam Adha Yusoff tidak mempunyai lesen kejurulatihan Diploma AFC Pro yang merupakan syarat wajib dimiliki oleh jurulatih pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Super.

Lesen Diploma AFC Pro ini merupakan antara lesen tertinggi dalam karier jurulatih bola sepak.

Justeru itu, pengurusan Kuala Lumpur kini sedang mencari ketua jurulatih baharu dan mereka telah pun menerima lebih 10 permohonan dari luar negara seperti Portugal, Jerman, Australia dan termasuk negara jiran, Singapura.

“Kami terima banyak permohonan daripada jurulatih luar negara dan tempatan. Ada juga beberapa nama turut dikaitkan dengan Kuala Lumpur tetapi ia hanya khabar angin kerana pemilihan belum lagi dilakukan.

“Keputusan belum dibuat kerana kami mahu meneliti terlebih dahulu jurulatih yang benar-benar layak kerana masing-masing mempunyai latar belakang hebat dan memenuhi kriteria kami,” kata Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa dalam Kosmo.

Nidzam Adha berjaya bawah Kuala Lumpur ke Liga Super musim depan. FOTO: KL Hawks

Namun begitu, khidmat Nidzam Adha tetap dikekalkan kerana berjaya mencapai sasaran ke Liga Super seperti yang ditetapkan oleh pihak pengurusan. Beliau akan menjadi pembantu jurulatih kepada pengendali baharu yang akan dilantik kelak.

“Saya tiada masalah untuk bekerja dengan mana-mana jurulatih import tetapi bagi saya adalah lebih baik jurulatih itu datang segera. Sekurang-kurangnya dia dapat menyaksikan perlawanan liga terakhir kami dan dapat menyaksikan saingan Piala Malaysia.

“Dengan itu, dia dapat mengenal pasti di mana kelemahan dan kekurangan kami untuk ditampung dalam saingan Liga Super musim depan,” katanya.

Antara jurulatih tempatan yang tidak mewakili mana-mana pasukan tetapi mempunyai lesen Diploma AFC Pro ialah Irfan Bakti, Abu Bakar Fadzim dan B. Satiananthan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

14 Pasukan Akan Bertanding Dalam Saingan Liga Super Musim Depan?

Daniel Amier Akui Ada Tawaran Dari Johor Darul Ta’zim

Ketua Jurulatih Baharu Bakal Bimbing Kelantan Musim Depan