Ketua jurulatih pasukan Kedah, Aidil Sharin Sahak mendedahkan beliau dan beberapa pemain senior dalam pasukan berganding bahu dalam memberikan bantuan kewangan kepada pemain yang memerlukan ketika pasukan dilanda krisis kewangan ketika ini.

Menurut Aidil, sebagai bapa dalam skuad Kedah, beliau hanya mahu melakukan yang terbaik untuk pasukan dan beliau bersyukur pemain senior seperti Baddrol Bakhtiar, Zaquan Adha dan Azamuddin Akil mahu membantu.

Jurulatih
Sumber Gambar: FA Kedah

“Kalau dilihat daripada segi angkanya itu memang membimbangkan, lima bulan tanpa gaji bukan perkara yang mudah. Pemain juga ada masalah keluarga masing-masing, dua daripadanya akan menyambut cahaya mata baru dan memerlukan wang.

“Pemain yang datang dari luar Kedah juga kasihan kerana lebih banyak wang yang perlu dikeluarkan. Dengan penularan COVID-19, tuan rumah sewa juga berasa risau dengan situasi kem Kedah ini. Banyak faktor yang kami hadapi.

“Bagi saya yang berperanan sebagai bapa dalam pasukan ini, saya hanya buat yang terbaik untuk pasukan. Apa yang penting, saya mahu mereka turun berlatih dengan keadaan 100 peratus.

Jurulatih
Sumber Gambar: FA Kedah

“Pemain senior seperti Baddrol Bakhtiar dan Zaquan Adha Abdul Radzak juga banyak menghulurkan bantuan terhadap keperluan pemain muda. Alhamdulillah, saya mempunyai pemain senior yang bagus seperti Baddrol, Zaquan dan Azamuddin,” katanya menurut laporan Stadium Astro.

Masalah kewangan pasukan Kedah dilihat bakal berpanjangan apabila Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Muhammad Sanusi Md Nor tidak akan menggunakan bajet kerajaan negeri bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Baca artikel lain mengenai Isu tunggakan gaji pasukan Kedah di sini:

Presiden KFA: “Saya Tak Akan Guna Duit Rakyat Bayar Tunggakan Gaji Pemain Kedah”

‘Insta Story’ Kpah Sherman Dan Aidil Sharin Beri ‘Hint’ Kuat Kedah FA Ada Masalah Kewangan Yang Nazak?

Zaquan Adha Kritik Kenyataan Asmirul Anuar Aris