Ketua jurulatih kelab divisyen 2 Korea, Chungbuk Cheongju berkongsi perkembangan terkini pemain negara, Kogileswaran yang jarang diturunkan dalam kesebelasan utama.

Kali terakhir Kogi diturunkan bersama pasukan itu ialah pada 29 Mac lalu ketika saingan Piala FA. Beliau sempat beraksi selama 60 minit sebelum dikeluarkan di separuh masa kedua.

Namun sejak itu, nama beliau semakin jarang berada dalam senarai kesebelasan utama pemain ataupun barisan simpanan untuk saingan liga dan situasi itu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat Malaysia.

Bagaimanapun, jurulatih kelab itu, Choi Yun-Kyum menjelaskan beliau mahu memberi lebih banyak masa kepada Kogileswaran untuk menyesuaikan diri dan memahami taktikal pasukan sebelum turun beraksi dalam perlawanan sebenar.

Kemerosotan prestasi pasukan itu dalam beberapa perlawanan menyebabkan sukar untuk jurulatih tersebut menjalankan eksperimen bagi menguji keupayaan Kogileswaran.

“Jika ada ruang untuk persembahan pasukan kali ini, saya mahu bereksperimen dengan menyenaraikan Kogi dan menilai keupayaannya untuk bersaing dengan pasukan kuat.

“Kogi telah kehilangan banyak berat dan lemak badan tetapi kepantasannya makin merosot. Kalau dia diturunkan sekarang menentang pasukan kuat, beliau akan bergelut dan memberi kesukaran kepada rakan sepasukan.

“Oleh itu, saya membuat keputusan untuk meletakkannya dalam pasukan supaya dia lebih beradaptasi sehingga kelab mencapai keputusan yang lebih memuaskan,” jelas Choi dipetik dalam media sukan Korea Selatan, Sports-G.

Meskipun tidak menjaringkan sebarang gol, namun prestasi pemain yang berusia 24 tahun itu ketika aksi Piala FA bulan lalu mendapat pujian daripada peminat bola sepak tempatan.

Sebelum separuh masa pertama tamat, Kogi membuat percubaan dari luar kotak penalti namun rembatan jarak jauh beliau berjaya ditepis oleh penjaga gol lawan.

Bekas pemain Sri Pahang dan Petaling Jaya City itu terlibat ketika jaringan kedua Chungbuk dimana beliau dijatuhkan ketika proses gerakan namun mujur rakan sepasukan berjaya menjaringkan gol. Kogi akhirnya dikeluarkan pada minit ke-60 dan menamatkan penampilan pertama beliau bersama kelab baharunya.

Ketika ini, Chungbuk berada di tangga 11 dalam carta liga divisyen 2 Korea Selatan selepas hanya mencatat 3 kemenangan dalam 12 perlawanan yang diharungi.