Baru-baru ini, terdapat khabar angin di media sosial yang mengatakan naib juara Liga Super 2020, Kedah sedang mencari seorang pemain import dari Indonesia bagi menggantikan tempat Amin Nazari yang tidak disambung kontrak.

Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu akan beraksi dalam saingan AFC Cup musim depan. Justeru itu, mereka memerlukan pemain import yang berpengalaman untuk memperkuatkan jentera serangan berdepan pasukan terbaik di Asia.

Salah seorang pemain dari Indonesia yang dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan Kedah ialah pemain tengah Bali United iaitu Stefano Lilipaly.

Stefano merupakan pemain berdarah campuran belanda dan tonggak utama skuad kebangsaan Indonesia. Beliau pernah beraksi di AFC Cup pada tahun 2018 dengan skuad Bali United dan dilihat sebagai calon terbaik untuk mengisi kuota pemain import ASEAN pasukan Kedah.

Bagaimanapun, khabar angin tersebut mengejutkan ketua jurulatih Bali United, Stefano “Teco” Cugurra yang langsung tidak mengetahui bahawa pemainnya itu sedang dipancing oleh kelab dari luar negara.

“Saya tidak tahu (khabar angin Lilipaly ke Liga Malaysia). Lebih bagus anda tanya sendiri pemain tersebut dan pihak pengurusan,” kata Teco dipetik dalam Bolalob.

“Harus tunggu kata putus daripada pihak pengurusan barulah saya akan tahu berapa pemain yang akan tinggal dalam kelab ini,” tambahnya.

Kontrak Lilipaly bersama Bali United akan berakhir pada 31 Disember 2020 sekaligus menguatkan lagi khabar angin mengenai penghijrahannya ke Liga Malaysia.

Tambahan pula, saingan Liga Indonesia belum pasti akan bermula pada musim depan kerana peningkatan kes wabak pandemik serta larangan daripada pihak polis, maka lebih banyak pemain tempatan mungkin akan angkat kaki berhijrah ke luar negara.

“Saya rasa banyak pemain Indonesia mempunyai kualiti untuk main di luar negara. Apa lagi melihat situasi ketika ini, ada beberapa pemain yang memilih untuk berhijrah ke luar negara,” ujar Teco.

Kedah sebelum ini pernah diperkuatkan oleh pemain dari Indonesia iaitu Andik Vermansyah pada musim 2018.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

4 Pasukan Liga Super Buru Khidmat Pemain Naturalisasi Indonesia, Marc Klok

ACL 2020: Jaringan Ketiga Andres Iniesta Bantu Vissel Kobe Layak Ke Pusingan Kalah Mati

BG Pathum United Sahkan Tempat Dalam Saingan AFC Champions League Musim 2021