Sikap fanatik para penyokong bola sepak di Indonesia dalam memberikan sokongan kepada pasukan kesayangan sememangnya satu perkara yang tidak boleh disangkal lagi.

Dapat disaksikan begitu ramai penyokong membanjiri stadium dalam mana-mana perlawanan tanpa mengira aksi pasukan kebangsaan Indonesia mahupun kelab-kelab tempatan.

Namun, sikap fanatik tersebut ada ketikanya bertukar menjadi perkara di luar kawalan manusia normal sehingga menyebabkan segelintir daripada mereka bertindak keterlaluan.

Hakikat tersebut disuarakan oleh ketua jurulatih Bali United, Alessandro Stefano Cugurra Rodrigues atau lebih mesra dengan panggilan ‘Teco’ selepas penyokong Persib Bandung tidak dapat mengawal perasaan selepas pasukan mereka tumbang 2-3 pada aksi di Stadion Gelora Bandung Lautan Api (GBLA), Bandung itu.

Disajikan Pemandangan Indah, Bali United Bina Pusat Latihan Rasmi Di Tepi Pantai

Sumber media di Jawa Barat, detikjabar mendedahkan bahawa para pemain Bali United menjadi mangsa sasaran penyokong tuan rumah yang membaling botol minuman setiap kali mereka mahu mengambil lontaran ke dalam dan juga sepakan penjuru.

Keadaan itu berterusan sehingga tamat permainan sehingga memaksa pihak Polis memberikan perlindungan kepada pemain Bali United untuk masuk ke bilik persalinan.

Difahamkan, keadaan mula menjadi tegang selepas penjaga gol Bali United, Nadeo Argawinata diperintahkan keluar padang pada masa kecederaan selepas pergeserannya bersama Ricky Kambuaya ekoran tindak balas dilakukan terhadap pemain import Persib Bandung, Daisuke Sato.

“Ya, waktu kami mahu keluar [daripada padang], mereka membaling [botol] dan terima kasih kepada polis kerana membantu kami semua keluar dengan baik.”

“Kita harus tahu penyokong, ini adalah keadaan yang kurang baik saya fikirkan dimana semua penyokong di Indonesia harus tahu situasi dalam bola sepak.”

“Anda harus menerima keputusan ketika mengalami kekalahan, anda juga harus menerima waktu menang. Hanya ada tiga perkara dalam bola sepak iaitu kalah, menang dan seri.”

“Kadang-kadang penyokong di Indonesia terlalu fanatik. Mereka tidak boleh menerima ketika pasukan mereka tidak memenangi perlawanan atau kalah,” ujar pengendali kelahiran Brazil itu.

Kredit Foto: Bali United

Pada perlawanan tersebut, Bali United berjaya mendapatkan dua jaringan pada babak pertama menerusi Privat Mbarga dan Ilija Spasojevic sebelum David da Silva merapatkan jurang menerusi sepakan penalti pada minit ke-63.

Muhammad Rachmat bagaimanapun kembali menjarakkan kedudukan pada minit ke-81. Da Silva terlepas peluang untuk menjaringkan gol kedua peribadi berselang tujuh minit kemudian selepas sepakan penaltinya berjaya dinafikan penjaga gol gantian Bali United, Muhammad Ridho Djazulie.

Jaringan kedua Persib Bandung menerusi Erwin Ramdani pada minit ke-89 masih belum mampu untuk menghalang kemenangan keempat buat Bali United pada musim ini.

Kredit Featured Image: Bali United

Sumber