Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA) hari ini mengumumkan Jurgen Klinsmann sebagai ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan bagi menggantikan tempat Paulo Bento.

Bento telah letak jawatan selepas Korea Selatan tewas kepada Brazil di pusingan 16 Piala Dunia di Qatar pada bulan Disember lepas.

Menurut kenyataan rasmi KFA, Klinsmann telah menandatangani kontrak sehingga Piala Dunia 2026 yang bakal berlangsung dengan gabungan 3 tuan rumah iaitu Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

Klinsmann merupakan lagenda bola sepak Jerman yang pernah melatih kelab gergasi Bundesliga, Bayern Munich pada musim 2008 hingga 2009.

Sebelum itu, beliau mempunyai pengalaman luas di peringkat antarabangsa apabila membimbing skuad kebangsaan Jerman selama 3 tahun dan berjaya membawa pasukan itu raih tempat ketiga di Piala Dunia 2006.

Klinsmann juga pernah menjadi ketua jurulatih skuad kebangsaan Amerika Syarikat pada tahun 2011 hingga 2016 dan membawa pasukan itu layak ke Piala Dunia 2014.

Selain mengendalikan pasukan kebangsaan, pengalaman beliau sebagai pemain juga cukup luas sehingga dipilih oleh KFA antara calon utama untuk melatih skuad Taeguk Warriors. Sepanjang kariernya di pentas antarabangsa, Klinsmann pernah melakukan 108 penampilan untuk negaranya, dan menjaringkan 47 gol.

Dengan pemilihan ini, beliau kini merupakan jurulatih kedua dari Jerman yang mengendalikan Korea Selatan selepas Uli Stielike.

Stielike dipecat oleh KFA selepas prestasi buruk Korea Selatan di pentas antarabangsa sepanjang 2017 – sebelum Piala Dunia 2018 di Rusia – menyebabkan beliau digantikan oleh Shin Tae-yong.

Pada saingan Piala Dunia 2022 bulan lalu, Klinsmann memainkan peranan penting sebagai pakar analisis taktikal dan merupakan salah seorang anggota Technical Study Group (TSG) di bawah FIFA.

Tugasan pertama yang sedang menanti beliau selepas ini ialah aksi persahabatan antarabangsa Korea Selatan menentang Colombia pada 24 Mac dan Uruguay pada 28 Mac ini. Beliau juga akan mengetuai Taeguk Warriors di Piala Asia 2023 tahun depan.