Junior Eldstal dalam satu kemaskini terbaru di laman sosial Twitter, telah memuat naik sebuah video dimana beliau menyatakan ucapan terima kasih dan selamat tinggal kepada Malaysia.

Dalam video yang berdurasi 2:07 minit ini, Junior Edstal menyatakan ucapan terima kasih kepada beberapa individu yang telah memainkan peranan penting sepanjang kariernya di Malaysia sejak menyertai pasukan Sarawak pada April 2013.

Tidak dinyatakan secara jelas dalam video mengenai sebab beliau akan kembali ke England, namun selepas video dimuat naik, Junior Eldstal telah menulis nota untuk penghargaan kepada semua.

Isi kandungan nota itu ada menyentuh mengenai kecederaan yang dialaminya dan mungkin disebabkan perkara itu, Junior Eldstal sudah tidak mampu memberikan aksi terbaiknya didalam padang buat pasukan JDT/JDT II dan juga pasukan kebangsaan.

Sejak memulakan karier di Malaysia bersama pasukan Sarawak, Junior Eldstal telah berjaya meraih pelbagai kejuaraan domestik terutamanya ketika bersama JDT.

Bersama JDT, Junior Eldstal telah meraih semua kejuaraan domestik yang dipertandingkan; Liga Super Malaysia: 2015, 2016, 2017, Piala Sumbangsih: 2015, 2016, 2018, Piala FA: 2016, dan Piala Malaysia: 2017. Paling istimewa, beliau juga berjaya membantu JDT meraih medal juara AFC Cup pada 2015.

Manakala ketika bersama pasukan Sarawak selama 2 musim, Junior Eldstal telah berjaya membantu Sarawak muncul sebagai Juara Liga Premier dan beraksi di Liga Super pada musim 2014.