Pemain pertahanan negara, Junior Eldstål nyata teruja apabila kembali beraksi bersama kelab lamanya, Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi menghadapi baki saingan musim 2022.

Baru-baru ini, JDT mengumumkan mereka menandatangani Junior yang sebelum ini beraksi dalam saingan Thai League 1 bersama Chonburi bagi memperkuatkan bahagian pertahanan.

Junior beraksi selama satu setengah musim bersama Chonburi dimana beliau sebelum pulanh ke England bagi beraksi bersama salah sebuah kelab liga amatur di sana.

Bersama Chonburi, pemain berusia 30 tahun itu menjadi pilihan ketua pasukan untuk diturunkan dalam kesebelasan utama. Secara keseluruhan, Junior tampil dalam 32 perlawanan dan menjaringkan dua gol.

Prestasi yang ditampilkan oleh Junior bersama Chonburi nyata membuka mata ketua jurulatih skuad kebangsaan ketika itu, Tan Cheng Hoe untuk memanggil beliau bagi beraksi dalam saingan kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Apabila Kim Pan-gon dilantik sebagai ketua jurulatih yang baru, pengendali dari Korea Selatan itu masih memberi kepercayaan kepada pemenang Pesta Bola Merdeka 2013 untuk membarisi pasukan dalam saingan kelayakan pusingan ketiga Piala Asia yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Di JDT, Junior Eldstål akan bersaing dengan pemain pertahanan tengah lain seperti Adam Nor Azlin, Aidil Zafuan, Shane Lowry, Carli de Murga, Shahrul Saad dan seorang lagi pemain baharu yang dibawa masuk pada jendela perpindahan kedua musim ini iaitu Jordi Amat.

Selain mengumumkan ketibaan Junior, JDT juga menandatangani seorang lagi pemain import iaitu Levy Madinda yang pernah beraksi bersama Sabah musim lalu.

Pemain yang berusia 30 tahun ini turut mempunyai 53 kaps bersama skuad kebangsaan Gabon dan juga merupakan rakan sepasukan kepada bintang terkemuka dunia, Pierre-Emerick Aubameyang.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Junior Eldstal Kembali Semula Ke JDT

Levy Madinda Diumumkan Sebagai Pemain Import Baharu JDT

Aksi Menentang Kuala Lumpur City Jadi Penentu Nasib Michael Feichtenbeiner