Pemain pertahanan negara, Junior Eldstål terus menampilkan prestasi cemerlang dalam saingan Thai League 1 musim 2021/2022 apabila beliau tersenarai dalam kesebelasan terbaik mingguan.

Perkara ini dikongsikan oleh Junior sendiri menerusi laman media sosial Twitter miliknya dimana terdapat beberapa nama besar lain yang turut tersenarai.

Antara pemain yang tersenarai ialah ketua pasukan skuad kebangsaan Thailand, Teerasil Dangda, pemain pertahanan BG Pathum United, Andres Tunez, penjaga gol berpengalaman Thailand, Siwarak Tedsungnoen serta bekas pemain Perak dan Melaka United, Yashir Pinto.

Musim 2021/2022 menjadi musim terbaik bagi Junior Eldstål dimana beliau terus menjadi pilihan ketua jurulatih, Sasom Pobprasert untuk membarisi kesebelasan utama Chonburi FC.

Setakat ini, bekas pemain Sarawak itu beraksi dalam lapan perlawanan liga dan baru-baru ini beliau menjaringkan gol pertama musim ini pada perlawanan menentang Port FC.

Pemain berusia 30 tahun itu menjaringkan gol pada minit ke 48 dimana beliau menanduk masuk bola hasil hantaran daripada rakan sepasukan, Worachit Kanitsribampen dari sebelah kanan.

Chonburi menduduki tangga kelima dalam carta liga, dua mata dibelakang Chiangrai United yang menduduki tempat ke-4 dan empat mata dibelakang juara bertahan, BG Pathum United di tangga ketiga.

Prestasi baik yang ditampilkan oleh Junior juga boleh dipertimbangkan oleh ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk menyenaraikan pemain itu bagi menghadapi saingan Piala AFF Suzuki 2020 yang akan bermula pada 5 Disember ini.

Bahagian pertahanan negara menjadi kerisauan utama peminat bola sepak tanah air selepas dibolosi 9 gol pada dua aksi persahabatan antarabangsa menentang Jordan dan Uzbekistan bulan lalu.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan bola sepak Asia di sini:

Layak Ke AFC B-23 Tahun, Skuad B-23 Vietnam Terima Habuan 500 Juta Dong

Piala Malaysia 2021: Ambil Aura Liverpool, Sri Pahang Tibai Penang 5-0

Nafi Ada Potongan Gaji 50%, Selangor Sentiasa Bayar Gaji Penuh ‘On Time’