Pemain pertahanan negara, Junior Eldstal dikhabarkan bakal kembali ke saingan Liga Malaysia dan menyertai bekas pasukannya iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT).

Menurut perkongsian salah sebuah laman media sosial di Thailand, JDT dikhabarkan berminat untuk membawa kembali Junior yang ketika ini sedang beraksi bersama Chonburi dalam saingan Thai League 1.

Junior sebelum ini pernah beraksi bersama JDT dari tahun 2015 hingga 2018 dimana pemain berusia 30 tahun itu berjaya membantu skuad Harimau Selatan memenangi beberapa kejuaraan domestik dan antarabangsa seperti Liga Super (2015,2016,2017), Piala Sumbangsih (2015,2016,2018), Piala FA (2016), Piala Malaysia (2017) serta Piala AFC pada 2015.

Bekas pemain Sarawak itu kemudiannya memutuskan untuk meninggalkan JDT dan kembali ke United Kingdom selepas bergelut dengan kecederaan belakang yang dialami sekaligus menyukarkan beliau untuk tampil secara konsisten bersama pasukan itu.

Pada 2019, Junior Eldstal membuat kemunculan semula bersama salah satu kelab amatur di UK iaitu Metropolitan FC dan pada Februari 2021, Junior beraksi di Thai League 1 bersama Chonburi. Sebelumnya, Junior dikaitkan dengan perpindahan ke saingan Liga Malaysia namun perkara tersebut tidak terlaksana.

Bersama Chonburi, Junior berjaya mendapatkan semula rentak dimana beliau sentiasa menjadi pilihan untuk diletakkan dalam kesebelasan utama bagi mengisi posisi pertahanan.

Junior Eldstal
Sumber Gambar: FAM

Aksi beliau bersama Chonburi juga berjaya menarik perhatian ketua jurulatih Harimau Malaya ketika itu iaitu Tan Cheng Hoe untuk memanggil pemain itu beraksi bersama skuad kebangsaan.

Junior disenaraikan dalam skuad negara bagi beraksi dalam saingan peringkat kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang berlangsung pada Jun lalu di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pemain kacukan itu hanya beraksi pada satu perlawanan iaitu ketika menentang UAE dimana beliau bergandingan dengan Dion Johan Cools namun terpaksa akur apabila UAE menjaringkan tiga gol dalam tempoh masa 10 minit sekaligus menyaksikan pasukan negara tewas dengan keputusan 4-0.

Junior mengalami kecederaan tendon achilles ketika aksi menentang UAE dan beliau terlepas baki aksi perlawanan kelayakan menentang Vietnam dan Thailand.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Fayadh Zulkifli: Kekalahan Kepada Selangor Satu Peringatan Buat Kedah

PSSI Mahu Berjumpa FAM, Harap Sabah Lepaskan Saddil Ramdani

Ketua Jurulatih Melaka United, Risto Vidakovic Direhatkan