Pemain kacukan Malaysia-Sweden, Junior Eldstal merupakan antara nama yang telah dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bagi menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022 pada bulan Jun ini.

Kali terakhir beliau menyarung jersi negara adalah pada tahun 2016 ketika menentang Fiji dalam perlawanan persahabatan antarabangsa dimana Malaysia mencatat keputusan seri 1-1.

Pemain yang berusia 30 tahun itu tiada masalah untuk kembali semula kerana sangat mengenali beberapa pemain tempatan yang disenaraikan kali ini dan pada masa yang sama bimbang dengan tahap kecergasannya.

Junior kini beraksi dalam Liga Thailand bersama Chonburi FC namun saingan liga domestik di negara itu pada musim 2020/2021 sudah menutup tirainya sejak minggu lepas. Beliau sempat beraksi dalam 13 perlawanan dan menjaringkan 2 gol termasuk saingan Piala FA.

“Gembira dapat kembali semula berjumpa rakan-rakan dalam skuad kebangsaan yang saya pernah bermain bersama sebelum ini. Saya kenal ramai pemain dalam pasukan ini dan ia tidak akan menjadi masalah.

“Cuma apa yang membimbangkan saya ialah tahap kecergasan kerana Liga Thailand baru sahaja menamatkan musimnya,” kata Junior dipetik dalam New Straits Times

Chonburi
Junior Eldstal. Sumber Gambar: Chonburi

Beliau juga merupakan antara 3 pemain dari luar negara yang belum menerima suntikan vaksin COVID-19. Bekas pemain JDT itu akan menyertai Harimau Malaya di Dubai bersama dua lagi pemain iaitu Luqman Hakim (KV Kortrijk) dan Liridon Krasniqi (Newcastle Jets).

“Saya akan menyertai pasukan kebangsaan di Dubai. Peraturan perjalanan kali ini sangat ketat disebabkan oleh penularan wabak COVID-19. Ia memang masuk akal,” tambahnya.

Semua pemain Harimau Malaya akan dikumpulkan dalam kem latihan pusat pada 16 Mei 2021 sebelum ke luar negara menentang Kuwait pada 23 Mei 2021 dan Bahrain pada 28 Mei 2021 untuk aksi persahabatan.

Dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022, pasukan negara akan berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 3 Jun dan kemudiannya turun menentang Vietnam lapan hari kemudian. Malaysia menutup kempen kelayakan dengan berdepan Thailand pada 15 Jun 2021.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Harimau Malaya melalui pautan dibawah. 

Kuwait Dan Bahrain Uji Kekuatan Harimau Malaya Sebelum Kelayakan Piala Dunia 2022

Tiga Pemain Beraksi Di Luar Negara Bakal Perkuatkan Skuad Harimau Malaya

Vaksin Untuk Elakkan Kluster Harimau Malaya

Susuk Badan ‘Sado’ Luqman Hakim Dalam Kem Latihan Kebangsaan Jadi Bualan Hangat Penyokong Harimau Malaya

Guilherme de Paula Tersenarai Dalam Kem Latihan Harimau Malaya, Tiada Liridon Krasniqi Kerana Isu Kuarantin