Selepas 2 tahun beraksi di luar negara, pemain pertahanan skuad kebangsaan, Junior Eldstal kembali semula ke saingan Liga Malaysia dan menyertai bekas pasukannya iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT).

Junior sebelum ini pernah beraksi bersama JDT dari tahun 2015 hingga 2018 dimana pemain berusia 30 tahun itu berjaya membantu skuad Harimau Selatan memenangi beberapa kejuaraan domestik dan antarabangsa seperti Liga Super (2015,2016,2017), Piala Sumbangsih (2015,2016,2018), Piala FA (2016), Piala Malaysia (2017) serta Piala AFC pada 2015.

Bekas pemain Sarawak itu kemudiannya memutuskan untuk meninggalkan JDT pada tahun 2018 dan kembali ke United Kingdom selepas bergelut dengan kecederaan belakang yang dialami sekaligus menyukarkan beliau untuk tampil secara konsisten bersama Harimau Selatan.

Pada 2019, Junior Eldstal membuat kemunculan semula bersama salah satu kelab amatur di UK iaitu Metropolitan FC dan pada Februari 2021, Junior beraksi di Thai League 1 bersama Chonburi. Sebelumnya, Junior dikaitkan dengan perpindahan ke saingan Liga Malaysia namun perkara tersebut tidak terlaksana.

Bersama Chonburi, Junior berjaya mendapatkan semula rentak dimana beliau sentiasa menjadi pilihan untuk diletakkan dalam kesebelasan utama bagi mengisi posisi pertahanan.

Aksi beliau bersama Chonburi juga berjaya menarik perhatian ketua jurulatih Harimau Malaya ketika itu iaitu Tan Cheng Hoe untuk memanggil pemain itu beraksi bersama skuad kebangsaan bagi menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022.

Tahun ini, beliau turut dipanggil menyertai skuad kendalian Kim Pan-gon dan berjaya membantu Malaysia layak ke Piala Asia 2023 secara merit.

Kehadirannya dalam pasukan JDT memberi banyak pilihan kepada ketua jurulatih, Benjamin Mora untuk memperkuatkan bahagian pertahanan kerana mereka memerlukan skuad yang besar untuk menghadapi pusingan kalah mati AFC Champions League (ACL) musim ini.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia musim ini melalui pautan dibawah

Saddil Ramdani Bakal Sertai Dinamo Minsk Musim Depan?

Ifedayo ‘Tibai’ Selangor 2-0 Selepas Pulih Daripada Kecederaan Hamstring

Aksi Faisal Halim ‘Menganjing’ Penjaga Gol Sri Pahang Curi Tumpuan

MFL Kaji Cadangan Sepak Mula Liga Malaysia Pada Waktu Petang