Pemain pertahanan negara, Junior Eldstål berjaya menjaringkan gol pertama dalam saingan Thai League 1 musim ini pada perlawanan antara Chonburi menentang Port FC.

Junior terus menjadi pilihan ketua jurulatih, Sasom Pobprasert untuk diturunkan dalam kesebelasan utama dan beliau digandingkan dengan seorang lagi pemain import, Renato Kelić di bahagian pertahanan.

Port FC terlebih dahulu berada di hadapan menerusi jaringan David Rochela pada minit ke-27 dan Junior kemudiannya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-48 dimana beliau menanduk masuk bola hasil hantaran daripada Worachit Kanitsribampen.

Usaha Chonburi untuk mencari gol kemenangan berjaya pada minit-minit terakhir permainan apabila Worachit menjaringkan gol pada masa kecederaan sekaligus memberikan tiga mata penuh kepada pasukan itu.

Setakat ini, Junior Eldstål telah beraksi lapan perlawanan dalam saingan Thai League dan beliau membantu Chonburi menduduki tangga kelima dalam carta liga, dua mata dibelakang Chiangrai United yang menduduki tempat ke-4 dan empat mata dibelakang juara bertahan, BG Pathum United di tangga ketiga.

Prestasi baik yang ditampilkan oleh bekas pemain Sarawak itu juga boleh dipertimbangkan oleh ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk menyenaraikan Junior bagi menghadapi saingan Piala AFF Suzuki 2020.

Bahagian pertahanan negara menjadi kerisauan utama peminat bola sepak tanah air selepas dibolosi 9 gol pada dua aksi persahabatan menentang Jordan dan Uzbekistan bulan lalu.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan bola sepak Asia di sini:

Kobe Chong Dan Omar Raiyan Ucap Tahniah Atas Kejayaan Skuad B-22 Tahun Negara

Airfan Doloh Datang Bersembang Dengan Pemain Malaysia Guna Bahasa Malaysia Curi Tumpuan Media

“Malaysia Yang Layak, Penyokong Pasukan India Yang Koyak.” – Kutuk AFC Berkiblatkan Politik Dan Minyak