Kemunculan semula pemain kacukan negara, Junior Eldstal bukanlah di pentas Liga Malaysia melainkan di saingan Thai League 1 dimana beliau sah menyertai Chonburi FC sekaligus bakal memperkuatkan pasukan itu pada separuh masa kedua saingan liga divisyen pertama bola sepak Thailand.

Dalam satu temu bual bersama Astro Arena baru-baru ini, Junior berkongsi faktor utama mengapa beliau lebih memilih untuk beraksi di Thai League 1 berbanding di Liga Malaysia bagi musim 2021.

“Saya ditawarkan kontrak oleh sebuah pasukan Liga Malaysia. Semuanya sudah dipersetujui jadi saya mula mencari tempat tinggal dan kenderaan. Tetapi, kontrak sebenar iaitu hitam dan putih tidak dikeluarkan dan mereka sering memberikan alasan.

“Kemudian Chonburi pada saat akhir menghubungi saya. Ini perbezaan antara dua pasukan. Chonburi menawarkan kontrak kepada saya dan selepas itu ketua jurulatih pasukan menghubungi saya. Jurulatih tersebut berkata dia mahu khidmat saya di Chonburi dan menerangkan perancangan beliau. Ini memudahkan saya untuk membuat keputusan,” kata Junior.

Pada masa yang sama, bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menegaskan beliau berazam untuk menyarung kembali jersi pasukan negara pada masa akan datang.

“Saya kembali beraksi bukan semata-mata hanya mahu bermain bola. Sekiranya dapat mewakili negara dan memberikan sepenuh komitmen, ia seperti mimpi menjadi kenyataan. Dan ini adalah satu sebab mengapa saya mengambil cabaran beraksi di luar.

“Saya percaya dengan diri saya dan saya mempunyai fizikal yang baik untuk bersaing. Saya mempunyai ketinggian yang bagus dan tidak ramai pemain Malaysia mempunyai ketinggian seperti saya.

“Di posisi pemain tengah bertahan mungkin sukar namun sekiranya beraksi di posisi pertahanan, saya mungkin berpeluang untuk merebut tempat,” tambah Junior.

Baca artikel lain mengenai Junior Eldstal di sini:

RASMI: Chonburi FC Umumkan Ketibaan Junior Eldstal, Mahu Bantu Kelab Dengan Pengalaman Dimiliki

Junior Eldstal Sertai Kelab Thai League 1, Chonburi FC

Metropolitan Police FC Umum Perpindahan Keluar Junior Eldstal, Terima Kontrak Profesional Di Malaysia.