Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe mungkin perlu melakukan sedikit perubahan di bahagian tengah dengan menurunkan Syafiq Ahmad dan Junior Eldstål bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pemain yang terpaksa digugurkan untuk menghadapi saingan Piala AFF Suzuki 2020 yang akan membuka tirai pada 5 Disember ini.

Dua pemain tengah Kuala Lumpur City iaitu Akram Mahinan dan Kenny Pallraj disahkan mengalami kecederaan serius sekaligus digugurkan daripada pasukan dan tidak dapat beraksi dalam saingan edisi kali ini.

“Dua pemain daripada Kuala Lumpur City tidak dapat bersama skuad kebangsan kerana berhadapan dengan kecederaan yang agak serius.

Junior Eldstal
Sumber Gambar: Kuala Lumpur City

“Tidak akan panggil pengganti dan kami akan beri tumpuan kepada pemain sedia ada. Kedua-dua pemain berkenaan tidak dapat pulih dalam masa terdekat sekaligus mengharapkan pemain lain bersedia daripada segi mental dan fizikal,” kata Cheng Hoe.

Ketiadaan Akram dan Kenny sekaligus meninggalkan hanya pemain baharu Sabah, Baddrol Bakhtiar dan pemain muda Selangor, Mukhairi Ajmal di bahagian tengah dan perkara ini memaksa Cheng Hoe untuk membuat sedikit perubahan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan.

Dua pemain iaitu Syafiq Ahmad dan Junior Eldstal bakal diletakkan di bahagian tengah bagi digandingkan dengan Baddrol dan Mukhairi. Besar kemungkinan Junior akan diturunkan bagi diletakkan di posisi pemain tengah bertahan.

Ketika beraksi dalam saingan Liga Malaysia bersama Sarawak dan Johor Darul Ta’zim (JDT), Junior banyak diturunkan dalam posisi tersebut selain beraksi sebagai pertahanan tengah. Jadi, pemain berusia 30 tahun itu sepatutnya tidak berdepan masalah sekiranya diturunkan dalam kesebelasan utama.

Seorang lagi pemain yang boleh diturunkan di bahagian tengah ialah Dion Johan Cools yang turut disenaraikan dalam skuad kali ini. Sebelumnya, Dion diletkkan di posisi pertahanan tengah ketika Malaysia mengharungi kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun lalu.

Namun, Dion merupakan seorang pemain yang mampu untuk beraksi di beberapa posisi dan Cheng Hoe boleh membuat percubaan dengan meletakkan pemain FC Midtjylland di bahagian tengah.

Baca artikel lain mengenai saingan Piala AFF Suzuki 2020 di sini:

Harimau Malaya Kekurangan Pemain Tengah Selepas Ketiadaan Kenny Pallraj Dan Akram Mahinan

Takut Cedera, Vietnam Bawa 30 Pemain Terbaik Ke Singapura Termasuk 4 Penjaga Gol

Chanathip Songkrasin Dilantik Ketua Pasukan Thailand Hadapi Piala AFF Suzuki 2020