Pemain berdarah kacukan Malaysia-Sweden, Junior Eldstal mencipta sejarah tersendiri apabila melakukan penampilan pertama dalam perlawanan Piala FA Thailand bersama kelab Chonburi FC semalam.

Dalam perlawanan itu, Chonburi FC mencatat kemenangan 3-0 ke atas Suphanburi FC dan layak ke pusingan yang seterusnya. Junior dimasukkan pada separuh masa kedua dan ini menandakan ‘comeback’ beliau dalam aksi profesional setelah bergelut untuk pulih daripada kecederaan belakang yang dialami sejak menyertai JDT pada 2015.

Pemain berusia 29 tahun itu sebelum ini beraksi bersama pasukan semi-profesional, Metropolitan Police FC dalam saingan Southern Football League.

Liga Thailand merupakan pentas beliau meningkatkan tahap kecergasan dan mengembalikan semula prestasi terbaik seperti dulu. Beliau berazam untuk menyarung kembali jersi pasukan negara pada masa akan datang.

“Saya kembali beraksi bukan semata-mata hanya mahu bermain bola. Sekiranya dapat mewakili negara dan memberikan sepenuh komitmen, ia seperti mimpi menjadi kenyataan. Dan ini adalah satu sebab mengapa saya mengambil cabaran beraksi di luar.

“Saya percaya dengan diri saya dan saya mempunyai fizikal yang baik untuk bersaing. Saya mempunyai ketinggian yang bagus dan tidak ramai pemain Malaysia mempunyai ketinggian seperti saya.

“Di posisi pemain tengah bertahan mungkin sukar namun sekiranya beraksi di posisi pertahanan, saya mungkin berpeluang untuk merebut tempat,” kata Junior.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Thailand yang pernah ditulis oleh Vocket FC sebelum ini.

FA Thailand Mahu Anjur Liga U21 Mulai 2021, Platform Akira Nishino Pantau Pemain Generasi Baharu

FA Thailand Dedahkan Mereka Miliki 39 Jurulatih Yang Memegang Lesen PRO, 120 Orang Lagi Berstatus Lesen A

RASMI: FA Thailand Umumkan Warrix Sebagai Pembekal Kelengkapan Skuad Kebangsaan Sehingga 2028