Bintang skuad kebangsaan Vietnam, Nguyen Quang Hai semalam diumumkan secara rasmi sebagai pemain baharu sebuah kelab yang beraksi dalam saingan divisyen dua Liga Perancis, Pau FC.

Beliau turut mencipta sejarah sebagai pemain pertama Vietnam dalam beraksi dalam Liga Perancis.

Pau FC yang dibimbing oleh Didier Tholot menamatkan saingan Ligue 2 musim lalu di tangga ke-10 dimana mereka mengutip 49 mata hasil daripada 14 kemenangan, 7 seri dan mengalami 17 kekalahan sepanjang musim.

Menurut laporan media Vietnam, presiden kelab iaitu Bernard Laporte-Fray memilih Quang Hai kerana kreativiti serta gaya permainan pemain itu yang dianggap baik.

Bernard juga memberikan kontrak selama dua tahun dan pilihan untuk melanjutkan untuk tempoh setahun lagi kepada pemain ini sebagai usaha untuk memastikan Quang Hai mempunyai masa bagi menyesuaikan diri dengan pasukan dan juga saingan liga.

Lebih mengejutkan, jumlah pengikut media sosial rasmi kelab tersebut naik mendadak selepas Quang Hai diumumkan sebagai pemain mereka. Jumlah pengikut facebook Pau FC meningkat daripada 26,000 kepada lebih 66,000 selepas hanya 2 hari pengumuman tersebut.

Malah, jumlahnya masih lagi meningkat sehingga hari ini dan Pau FC kini mempunyai lebih 200,000 pengikut di laman facebook rasmi.

Penyokong Vietnam turut membanjiri setiap ruang komen di laman facebook tersebut dan ada juga yang bergurau senda dengan menyatakan mereka adalah peminat setia Pau FC sejak 10 hingga 20 tahun yang lalu.

Setiap paparan yang melibatkan Quang Hai akan mendapat lebih 100 ribu Like dan lebih 3,000 Shares menunjukkan para penyokong Vietnam begitu teruja dengan perpindahan pemain tengah itu.

Mereka juga berharap Quang Hai menyinar di eropah dan melangkah lebih jauh dalam karier bola sepaknya.

Sebelum ini, Quang Hai dikaitkan dengan satu lagi kelab divisyen dua Perancis iaitu Nîmes Olympique yang mana pasukan itu menghuni tangga ke-9 dalam carta liga pada saingan musim 2021/2022.

Saingan Ligue 2 Perancis musim 2022/2023 akan bermula pada 30 Julai depan. Quang Hai bakal diturunkan dalam perlawanan pra musim untuk membiasakan diri dengan corak permainan pasukan tersebut dan taktikal jurulatih.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

Penyokong Indonesia Kecewa Jordi Amat Pilih Sertai JDT

Australia Sedia Jadi Tuan Rumah Piala Asia Dengan Syarat AFC Anjak Ke Tahun 2024

ACL 2022: Aksi JDT Menentang Urawa Red Diamonds Akan Berlangsung Di Stadium Saitama

Korea Selatan Hantar Permohonan Rasmi Bida Hak Tuan Rumah Piala Asia 2023