Nama pengurus RB Leipzig, Julian Nagelsmann kini dikaitkan bakal ke Bayern Munich selepas terdapat ura-ura mengatakan pengendali kelab gergasi tersebut, Hansi Flick akan membimbing skuad kebangsaan Jerman.

Ia berikutan keputusan pengurus Jerman, Joachim Low yang sudah membimbing skuad Die Mannschaft sejak 2006 untuk meletakkan jawatan sebaik sahaja tamat saingan Euro 2020 nanti.

Dilabel sebagai antara pengurus muda berbakat besar apabila Nagelsmann membuktikan keupayaannya dalam membimbing pasukan, khidmat beliau pastinya menarik minat kelab-kelab gergasi Eropah.

Sehubungan dengan itu, tidak hairanlah Real Madrid turut berminat untuk membawa pengurus berusia 33 tahun itu ke Santiago Bernabeu pada tahun 2018 tetapi beliau terpaksa menolak tawaran tersebut dan kemudiannya memilih untuk menyertai RB Leipzig.

Bagaimanapun, dalam menjawab spekulasinya ke Bayern Munich menurut laporan dikeluarkan Goal, Nagelsmann mendedahkan bahawa masih tiada lagi perbincangan dilakukan antara pihaknya bersama kelab gergasi Jerman itu.

“Masih tiada perbincangan yang dibuat di antara saya dan Bayern Munich. Begitu juga dengan ejen saya,” jelas Nagelsmann memberikan penjelasan berhubung perkara tersebut dalam sidang media.

Julian Nagelsmann mula membimbing skuad utama TSG Hoffenheim pada Februari 2016 [berusia 29 tahun] dan selepas daripada itu beliau tidak lagi memandang ke belakang untuk membuktikan kualiti dimilikinya selaku pengurus muda.

Beliau kemudiannya dilantik pengurus RB Leipzig pada Julai 2019 dan membawa kelab tersebut melayakkan diri ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah 2019/20.

Selain itu, beliau turut melakar sejarah sebagai pengurus termuda yang berjaya membawa kelab sehingga ke peringkat kalah mati kempen UCL.

Musim ini RB Leipzig hanya ketinggalan lima mata di belakang Bayern Munich ketika saingan Bundesliga hanya berbaki enam perlawanan untuk menutup tirainya pada 22 Mei nanti.

Teruskan membaca 3 artikel lain yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah.

Reduan Abdullah: Kelemahan Individu Pengaruhi Prestasi UiTM FC

Vaksin Untuk Elakkan Kluster Harimau Malaya

Pemain Muda Leicester City Dipanggil Sertai Latihan Pusat Thailand