Pemain berdarah kacukan Malaysia-Jerman, Julian Bechler mencapai persetujuan dengan Johor Darul Ta’zim dimana beliau menandatangani kontrak bersama pasukan pembangunan pasukan itu iaitu JDT III.

Bechler sebelum ini beraksi bersama skuad bawah 19 tahun Tus Hornau. Pasukan senior Tus Hornau adalah pasukan yang beraksi dalam saingan Divisyen 2 Liga Jerman. Penjaga gol berusia 17 tahun ini dijangka mula beraksi bersama JDT III pada Jun depan sebaik semua urusan berhubung dokumentasi beliau selesai.

Julian Bechler
Sumber Gambar: Tus Hornau

Julian Bechler

“Saya fikir ini adalah satu peluang untuk saya mengembangkan kerjaya saya di negara lain. Saya memilih Malaysia kerana ibu saya berasal dari Malaysia dan saya mempunyai keluarga besar di sini.

“Lagipun, memang setiap tahun pada musim panas saya akan kembali ke Malaysia dan tahun lalu saya ada menjalani ujian dengan skuad bawah 19 tahun Malaysia. Namun, pada ketika itu saya tidak mempunyai kad pengenalan Malaysia dan saya tidak boleh bermain.

“Bojan kemudiannya mencadangkan nama saya kepada JDT III dan mereka menawarkan kontrak kepada saya,” kata Julian kepada Berita Harian.

Julian Bechler

Bechler turut menegaskan beliau sentiasa bersedia sekiranya dipanggil bagi memperkuatkan skuad bawah 19 tahun negara.

“Di Frankfurt, saya bermain bola sepak di tahap yang lebih tinggi. Jadi, sudah tentu saya boleh berkongsi pengalaman yang ada bersama rakan sepasukan,” tambahnya.

Selain beraksi bersama JDT III, Julian Bechler turut ditawarkan biasiswa oleh Universiti Raffles Iskandar di Johor Bahru bagi melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan selama tiga tahun.