Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam mengesahkan pihaknya telah mendapat maklum balas daripada Persatuan Bola Sepak Bahrain (BFA) untuk mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa pada tahun depan.

Katanya dalam Stadium Astro, Bahrain sedia menentang Harimau Malaya sebagai persiapan menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang dijadualkan berlangsung pada bulan Mac 2020 nanti.

Minggu lalu, FAM turut menerima tawaran daripada Palestin untuk mengadakan perlawanan persahabatan di Gaza namun Stuart menyerahkan kepada jurulatih pasukan, Tan Cheng Hoe untuk membuat keputusan.

“Bahrain dan Palestin telah mengesahkan ketersediaan untuk berdepan Malaysia dalam aksi persahabatan. Sekarang terletak di tangan Cheng Hoe untuk membuat keputusan berdepan lawan yang mana,” kata Stuart.

“Beliau sedang meneliti kemampuan kedua-dua pasukan dan bakal membuat keputusan seawal bulan depan.” tambahnya.

bahrain squad 2019
Skuad Bahrain dalam kejohanan Gulf of Nations Cup 2019.

Bahrain baru-baru ini dinobatkan sebagai “Raja teluk arab” selepas muncul sebagai juara Gulf of Nations Cup 2019 hasil kemenangan 1-0 ke atas Arab Saudi di perlawanan akhir. Mereka memilih Malaysia sebagai persiapan menghadapi Kemboja dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Pasukan itu juga konsisten dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 apabila mengekalkan rekod tanpa kalah selepas 5 perlawanan dan menghuni kedudukan kedua dalam kumpulan C dengan 9 mata.

Skuad Harimau Malaya turut berada di tangga kedua dalam kumpulan G dengan 9 mata selepas mencatat 3 kemenangan ke atas Indonesia dan Thailand sekaligus menghidupkan peluang untuk menempah tiket automatik ke Piala Asia 2023.

Oleh sebab itu, FAM mahu memastikan pasukan kendalian Tan Cheng Hoe lebih bersedia dari segi fizikal dan mental kerana baki 3 perlawanan yang akan datang pasti sukar dan menghadirkan tentangan sengit.

“Idea beliau (Tan Cheng Hoe) adalah untuk mengadakan perlawanan di rantau itu supaya barisan pemain lebih bersedia dari segenap aspek bila berlawan dengan UAE. Di FAM fokus kita adalah macam mana untuk mempersiapkan pasukan kita berdepan dua perlawanan bulan Mac depan.

“Kalau satu perlawanan (persahabatan) tidak cukup, beliau mahukan dua, kita akan beri dua perlawanan.

“Kami mempunyai peluang terbaik dan enggan melepaskannya dan berharap untuk melepasi sasaran,” kata Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi.

Malaysia dijadualkan bertemu UAE pada 26 Mac 2020 di lokasi yang akan ditentukan kemudian sama ada Dubai atau Abu Dhabi dan kemudian bertemu pendahulu kumpulan, Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 31 Mac 2020.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

Bekas Penyerang Felda United, Thiago Augusto Bantu Bahrain Menjuarai Gulf Of Nations Cup

Mario Gomez Letak Jawatan Sebagai Pengendali Borneo FC

Nguyen Cong Phuong Sah Bergandingan Dengan Bekas Penyerang Liverpool Di Ho Chi Minh City FC

Sumber