Juara Liga Super 2022, Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan usaha untuk memperkuatkan pasukan menjelang saingan musim hadapan apabila dilaporkan bakal membawa masuk bekas pemain skuad B-19 Tahun Sepanyol iaitu Juan Muniz.

Perkara ini dikongsikan oleh laman media dari Greece iaitu Transfermarkt_Hellas dimana mereka menyatakan Muniz akan meneruskan karier bersama JDT musim hadapan.

https://www.instagram.com/p/Cmej-QPsS4R/?igshid=YmMyMTA2M2Y=

Juan Muniz beraksi bersama kelab Liga Greece, Atromitos yang mana beliau beraksi bersama kelab itu sejak musim 2020.

Pemain berusia 31 tahun ini juga pernah beraksi dengan beberapa kelab Sepanyol seperti Sporting Gijon, CD Mirandés, Gimnàstic de Tarragona dan CD Lugo.

Pencapaian paling cemerlang Muniz ialah beliau menjadi sebahagian dalam skuad B-19 Tahun Sepanyol yang memenangi saingan UEFA Euro B-19 pada 2011.

Muniz beraksi dengan beberapa nama besar dalam arena bola sepak dunia ketika ini seperti Alvaro Morata (Juventus), Pablo Sarabia (Paris Saint-Germain) dan Dani Carvajal (Real Madrid).

Sebelum ini, pemilik JDT, Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim (TMJ) mengumumkan pihak kelab melantik Esteban Solari sebagai ketua jurulatih baharu pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Dalam satu wawancara, TMJ menegaskan Solari dilantik sebagai ketua jurulatih manakala pengendali sebelum ini, Hector Bidoglio dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Teknikal bagi menggantikan Alistair Edwards yang bakal menggalas tugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab.

Juan Muniz
Sumber Gambar:Excelsior

“Kami akan ada ketua jurulatih baharu dimana saya peribadi mengagumi jurulatih ini kerana sudah kenal beliau sejak beberapa tahun. Beliau kini berada dalam skuad B-23 Tahun Argentina bersama Javier Mascherano.

“Beliau juga menerima tawaran dari beberapa kelab seperti River Plate dan juga skuad remaja Argentina. Saya berjaya meyakinkan beliau untuk bersama kami bagi meneruskan projek JDT.

“Jurulatih itu ialah Esteban Solari, adik kepada Santiago Solari yang berada di Real Madrid. Beliau akan mengendalikan pasukan utama,” kata TMJ.

Tunku Ismail kemudiannya memberikan faktor utama mengapa pihak kelab mengambil keputusan untuk melantik Solari sebagai ketua jurulatih.

“Kami perlukan jurulatih yang memiliki karisma, muda dan dihormati. Dia bermain di Eropah dan Amerika Selatan dan beliau memiliki pencapaian. Apa yang saya kagum dengan dia ialah dari segi pengurusan pemain dan mahukan pemain untuk menampilkan prestasi terbaik,” tambahnya.