Media UAE melaporkan pengendali dari Argentina, Juan Antonio Pizzi semakin hampir dilantik sebagai ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan negara itu bagi menggantikan tempat Ivan Jovanovic yang dipecat pada minggu lepas.

Menurut sumber rapat Pizzi, bekas pengendali skuad Arab Saudi itu telah pun dihubungi oleh Persatuan Bola Sepak UAE (UAE FA) untuk menawarkan jawatan ketua jurulatih namun ia dinafikan oleh Naib Presiden UAE FA, Yousef Al Sahlawi.

“Kami belum menghubungi mana-mana jurulatih setakat ini. Sehingga hari ini, kami tidak ada buat perbincangan mengenai nama-nama yang akan dicalonkan.

“Kami sedang menunggu CV daripada ejen yang berbeza. Oleh itu, tiada apa-apa pengesahan lagi. Masih dalam proses,” katanya dalam The National. 

Al Sahlawi juga mengakui pihaknya kini amat terdesak untuk mencari jurulatih yang terbaik bagi mencapai dua sasaran badan induk mereka iaitu layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022 dan membentuk pasukan mantap untuk Piala Dunia 2026.

“Kami mahu menamatkan pencarian jurulatih ini secepat mungkin. Kami akan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat untuk menimbangkan beberapa nama yang dicadangkan,” katanya.

Ali Mabkhout
Ali Mabkhout

Pizzi sebelum ini mengendalikan Arab Saudi selama 14 bulan sehingga saingan Piala Asia pada tahun lepas. Beliau juga membantu negara itu mencatat kemenangan pertama dalam Piala Dunia 2018 selepas 24 tahun dengan menewaskan Mesir.

Sebelum ke Asia, beliau pernah mengendalikan skuad kebangsaan Chile dan membantu mereka menjuarai Copa America pada tahun 2016. Kerjaya jurulatih yang berusia 51 tahun itu ketika sebagai pemain cukup hebat apabila pernah meraih pelbagai kejuaraan utama eropah bersama pasukan gergasi, Barcelona dan FC Porto.

Selain Pizzi, antara calon lain yang turut dilaporkan oleh media UAE ialah bekas pengendali Boca Junior, Rodolfo Arruabarrena yang kini merupakan jurulatih kelab Liga Pro UAE, Shabab Al Ahli dan bekas pengurus Dinamo Zagreb dan Al Ain, Zoran Mamic dari Croatia.

Dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, UAE berada di kedudukan keempat kumpulan G dengan 6 mata selepas mengharungi 4 perlawanan.

Prestasi mereka ketika dibawah bimbingan Van Marwijk tidak begitu memuaskan apabila tewas kepada dua wakil Asean, Vietnam dan Thailand.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan bola sepak UAE yang dilaporkan sebelum ini.

Belum Sempat Bertemu Malaysia, UAE Pecat Jurulatih Buat Kali Kedua

Abdulaziz Al Anbari Bakal Jurulatih Baharu UAE Tetapi Sharjah FC Menafikannya

Bekas Pengendali Boca Junior Antara Tiga Calon Ketua Jurulatih Baharu UAE