Kekalahan kepada Malaysia pada perlawanan pertama kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 nyata memberi kesan mendalan terhadap bola sepak Indonesia. Terbaru, jualan tiket bagi perlawanan kedua menentang Thailand hari ini dikhabarkan tidak mendapat sambutan daripada penyokong skuad Garuda.

Menurut laporan CNN Indonesia, setakat ini hanya 7 ribu keping tiket daripada 70 ribu keping yang disediakan oleh Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) telah terjual.

Timbalan Setiausaha Agung Business Development PSSI, Marsal Masita menegaskan pihaknya sudah pasrah dengan sambutan dingin daripada penyokong mengenai penjualan tiket bagi perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno pada hari ini.

Jualan Tiket
Marsal Masita. Sumber Gambar: Breaking News

“Setakat hari Isnin (9/8) pagi, jualan tiket hanya mencapai 7 ribu keping sahaja. Kami memang tidak berharap penyokong akan memenuhi stadium. Sudah pasti jualan jauh berbeza ketika kita menentang Malaysia minggu lalu. Selain itu, perlawanan berlangsung pada hari bekerja bukannya pada hujung minggu,” katanya.

Tambah Marsal, harga tiket juga tidak berubah dimana tiket bagi Kategori 3 tiket dijual dengan harga 125 ribu Rupiah, kategori 2 berharga 175 ribu rupiah, 350 ribu Rupiah untuk kategori 1, VIP bahagian Barat pula dijual dengan harga 1 Juta Rupiah dan VIP bahagian Timur dijual dengan harga 750 ribu Rupiah.

Pada masa yang sama, Marsal turut menjelaskan pasukan Thailand menggelar latihan tertutup bukan kerana mereka risau kejadian pada Khamis lalu bakal berulang sebaliknya mereka mahu memberikan tumpuan khusus kerana skuad Gajah Perang memerlukan kemenangan.

“Mereka perlu menang ke atas Indonesia setelah hanya mencatat keputusan seri ketika menentang Vietnam. Jadi latihan yang dijalankan harus tertutup. Mereka memang membuat persiapan rapi dan ianya tiada kena mengena dengan insiden yang berlangsung ketika menentang Malaysia,” tambahnya.

Anda boleh membaca artikel lain mengenai Thailand dan Indonesia di sini:

Thailand Waspada Dengan Penyokong Indonesia

Warga Indonesia Ini Akui Penyokong Mereka ‘Darurat’ Hormati Pasukan Lawan, Fanatik Itu Boleh, Goblok Itu Jangan.

Saksikan Bagaimana Penyokong Indonesia Membaling Air Kencing Ke Arah Penyokong Malaysia