Pemain tengah, Jorginho tanpa berselindung mengakui bahawa dirinya bukanlah pemain yang terbaik di dunia pada ketika ini walaupun berjaya memenangi Kejuaraan Euro 2020 serta Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2020/21.

Kenyataan itu dikeluarkan Jorginho selepas beliau disebut-sebut sebagai antara pemain pilihan selain daripada Lionel Messi untuk memenangi gelaran Ballon d’Or atas pencapaian hebat dinikmatinya.

Hakikat itu turut diakui sendiri oleh pengurusnya ketika di SS Napoli dan Chelsea iaitu Maurizio Sarri yang beranggapan bekas anak didik kesayangannya itu berhak untuk mendapat pengiktirafan tersebut susulan aksi cemerlang dipamerkan Jorginho.

Namun, saingan terhebat bakal dihadapi beliau untuk meraih gelaran itu sudah pastinya terarah kepada Messi yang baharu sahaja membantu Argentina menjuarai Copa America di Brazil.

“Kami hidup untuk mewujudkan mimpi [untuk memenangi Ballon d’Or],” ujar Jorginho menurut laporan yang dikeluarkan Football Italia.

“Tetapi secara jujurnya saya mengatakan [pemenang Ballon d’Or] bergantung kepada kriteria yang menjurus kepada penilaian.”

“Sekiranya anda bercakap tentang bakat, saya menyedari bahawa saya bukan yang terbaik di dunia. Jika mereka memilih berdasarkan piala yang dimenangi, ya, tiada siapa yang memenangi lebih daripada saya pada musim ini.”

“Bagaimana untuk membandingkan diri saya dengan [Lionel] Messi, Cristiano Ronaldo atau Neymar?”

“Mereka memang mempunyai karakter yang berbeza berbanding saya tetapi sekali lagi, semua ini berdasarkan kriteria,” tambah beliau lagi.

Baca artikel lain mengenai pemain berusia 30 tahun ini dan Chelsea:

EPL: Rekod Luar Biasa Penalti Jorginho Teruskan Kecemerlangan Chelsea Era Tuchel

Revolusi Kehadiran Thomas Tuchel Yang Mengubah Nasib Chelsea

Rudiger: “Kebiadaban Amartey Harus Dihukum Dan Jadi Motivasi Tambahan Kami”