Kelibat pemain import sememangnya bukan satu perkara yang asing dalam saingan Liga Malaysia. Sesetengah daripada mereka meninggalkan impak positif namun tidak kurang juga ada pemain yang hanya hebat pada nama tetapi tidak membawa sebarang impak kepada pasukan.

Baru-baru ini, pemain import yang pernah menggegarkan Liga Malaysia dan meraih beberapa kejuaraan telah memberi bayangan bahawa beliau mahu kembali bagi menghadapi saingan musim 2020. Pemain yang dimaksudkan ialah bekas penyerang Johor Darul Ta’zim, Jorge Pereyra Diaz.

Menerusi Instagram Story miliknya, Diaz telah menulis satu post dengan menggunakan bahasa Sepanyol iaitu de vuelta à Malásia yang bermaksud kembali ke Malaysia dan menyebut dua pasukan iaitu juara Liga Perdana, Sabah serta pasukan Kedah.

Melihat kepada post yang ditulis oleh Diaz, pemain berusia 29 tahun itu seolah-olah memberi bayangan bahawa beliau bakal menyertai sama ada pasukan Sabah ataupun Kedah bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Ketika beraksi bersama JDT, Jorge Pereyra Diaz telah memenangi beberapa gelaran domestik seperti Liga Super (2014,2016), Piala Sumbangsih (2015,2016,2018) dan Piala FA (2016). Selain itu, Diaz juga memenangi anugerah Kasut Emas Liga Super musim 2016 dimana beliau menjaringkan 18 gol.

Apa yang pasti, kelibat Diaz bagi pasukan Kedah mahupun Sabah dilihat bakal mengukuhkan lagi jentera serangan kerana beliau sememangnya seorang pemain yang berkualiti dan mempunyai pengalaman beraksi di Liga Malaysia.

Baca artikel lain mengenai Jorge Pereyra Diaz di sini:

Bekas Pemain JDT, Jorge Pereyra Diaz Bantu Bolivar Menangi Liga Bolivia