Bekas penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Jorge Pereyra Diaz kembali menjadi sebutan dalam kalangan peminat bola sepak Asia apabila mempamerkan prestasi cemerlang di saingan Liga Super India (ISL) bersama Mumbai City FC.

Diaz merupakan salah satu pemain import terbaik yang pernah mewarnai kancah Liga Malaysia dimana beliau pernah membantu JDT memenangi Liga Super sebanyak 2 kali pada musim 2014 dan 2015 serta Piala FA pada musim 2016.

Namun, pemain yang berusia 32 tahun kini menjadi pujaan penyokong Mumbai City apabila membantu pasukan tersebut ungguli tangga teratas Liga Super India musim ini dengan rekod tanpa kalah selepas mengharungi 15 perlawanan.

Malah, Diaz juga kini berada kedudukan teratas dalam senarai penjaring terbanyak Liga Super India dengan rekod 9 gol bersama pemain East Bengal, Cleiton Silva.

Mumbai City FC bukanlah sebuah kelab besar dalam saingan ISL namun kehadiran pemain dari Argentina itu banyak membantu kelab tersebut mencapai kemenangan.

Berdasarkan rekod, mereka telah menjaringkan purata 3 gol dalam setiap perlawanan dan tiada mana-mana pasukan mampu menghentikan penguasaan mereka dalam saingan Liga Super India setakat ini.

Situasi itu menyaksikan Mumbai City kini gah di persada liga dengan 39 mata dan hanya dipisahkan sebanyak 4 mata dengan pencabar terdekat, Hyderabad FC.

Sebelum ini, Diaz beraksi dengan satu lagi kelab ISL, Kerala Blasters yang memiliki kumpulan penyokong terbesar – purata kehadiran tertinggi di ISL dengan lebih 30,000 penyokong.

Pemain berusia 31 tahun itu asalnya memiliki kontrak sehingga bulan Disember 2021 bersama Atletico Platense, tetapi kelab bersetuju melepaskannya untuk menandatangani kontrak 1 musim bersama Kerala Blasters.

Sebagai rekod, musim 2020/2021, Kerala Blasters menamatkan saingan India Super League dikedudukan ke-2 tercorot, dimana mereka hanya mampu mencatatkan 3 kemenangan dari 20 perlawanan.

Bersama Kerala Blasters, Diaz telah menjaringkan 8 gol dan satu bantuan gol.

Biarpun Mumbai City bukanlah kelab besar, beliau tetap berjaya membawa mereka untuk berada di puncak liga ketika ini. Berbaki lima aksi, mampukah mereka kekalkan rekod tanpa kalah dan menjulang kejuaraan ISL kali kedua dalam tempoh tiga tahun?