Pemain naturalisasi terbaru Indonesia, Jordi Amat menafikan khabar angin yang mengatakan beliau akan menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas kontraknya bersama kelab Belgium, K.A.S Eupen tamat pada 30 Jun ini.

Menurut laporan media Indonesia, Genpi, Jordi menyatakan beliau tidak akan menyertai mana-mana kelab dalam masa terdekat kerana mahu menyelesaikan segala proses dokumentasi bagi menjadi warganegara Indonesia.

“Tidak, memang banyak khabar angin apatah lagi kontrak saya akan tamat pada 30 Jun ini. Fokus saya ketika ini ialah menjadi warganegara Indonesia dan menyertai skuad kebangsaan yang akan beraksi pada bulan Jun ini.

“Apabila semua selesai, barulah saya melihat pilihan yang ada dan akan mempertimbangkan tawaran yang sesuai,” katanya.

Sebelum ini, beredar khabar angin di media sosial yang mengatakan Jordi Amat bakal menyertai JDT dan akan mengisi kuota import Asia Tenggara memandangkan beliau semakin hampir untuk mendapatkan kerakyatan Indonesia.

Selain Jordi Amat, seorang lagi pemain iaitu Sandy Walsh juga semakin hampir untuk melengkapkan proses bagi menjadi warganegara Indonesia sekaligus menjadi senjata baharu skuad Garuda di bawah bimbingan Shin Te-yong.

Seorang lagi pemain, Shayne Pattynama dijadualkan tiba di Indonesia pada minggu ini dan akan memulakan proses naturalisasi sedikit lambat berbanding Jordi dan Sandy.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan bola sepak Asia di sini:

Bekas Pertahanan Kental Sri Pahang, Zesh Rehman Umum Persaraan

Senjata Rahsia Kim Pan-gon Cetus Tanda Tanya

Perak Bakal Tubuhkan Akademi, Mahu Gunakan Model Arsenal Dan Ajax Amsterdam