Penyerang Terengganu FC II, Jordan Mintah, tidak berasakan prestasinya sudah merudum walaupun rekod jaringannya tampak sedikit perlahan di permulaan musim ini.

Menurutnya, apa yang lebih penting adalah sumbangan kepada pasukan malah dia berasakan lima jaringan setakat ini dalam lapan perlawanan tetap sebagai satu rekod yang memuaskan.

Justeru, dia mengharapkan kejayaan meledak dua jaringan pada perlawanan terakhir ketika berdepan Kuching City FC akan menambahkan lagi keyakinannya bagi membantu Terengganu FC II memburu kejuaraan Liga Premier.

“Saya rasa tidak tepat untuk menilai prestasi secara keseluruhan hanya berpandukan kerana jumlah gol tetapi apa yang saya mampu sumbangkan bagi membantu kemenangan pasukan.

“Setakat ini saya berpuas hati dengan apa yang telah sumbangkan kepada pasukan malah sebelum aksi berdepan Kuching City, saya rasakan jumlah tiga gol itu bukanlah sesuatu yang sangat teruk.

“Cuma selepas dua jaringan berdepan Kuching City, saya rasa itu sedikit sebanyak menaikkan lagi moral buat saya selaku penyerang bagi hadapi perlawanan akan datang,” katanya.

Kredit Foto: Terengganu FC II

Musim lalu memperlihatkan Mintah muncul penjaring terbanyak Liga Premier berkongsi kedudukan dengan Fernando Rodriguez daru JDT II menerusi catatan 16 gol.

Namun, permulaan Mintah tampak sedikit berbeza untuk musim ini apabila sentuhan jaringannya agak sederhana apabila meledak tiga gol dalam tujuh perlawanan.

Bagaimanapun, dia kini kembali berada dalam senarai pencabar penjaring terbanyak Liga Premier melalui 5 gol di belakang Fernando, Njoku Jacob ( Kelantan United) dan Martin Adamec (PDRM FC) yang masing-masing melakukan 6 jaringan.

Berdepan Skuad Projek FAM-MSN pada Sabtu, Mintah tidak berasakan perlawanan itu akan satu aksi mudah buat Terengganu FC II.

“Jangan sama sekali pandang rendah kepada Skuad Projek, saya tahu pasukan ini ada ramai bakat baharu yang bakal menjadi pemain hebat satu hari nanti.”

“Musim lalu, saya mungkin menjaringkan empat gol semasa berdepan mereka tetapi situasi kali ini pasti berbeza.”

“Saya harap tumpuan dan kesungguhan kami dalam perlawanan ini,sama sahaja seperti perlawanan lain bagi mencari satu lagi kemenangan buat pasukan,” tambah Jordan Mintah lagi.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia melalui pautan dibawah.

Micheal Owen: Liverpool Terlalu Bagus Buat Real Madrid

Laporta Kecam PSG Sebagai Perosak Pasaran Pemain Dan Mencabuli Prinsip Kesatuan Eropah

Senjata Rahsia Kim Pan-gon Cetus Tanda Tanya