Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengaturkan dua perlawanan persahabatan antarabangsa untuk skuad Harimau Malaya pada bulan Oktober depan sebagai persiapan menghadapi kempen Kelayakan Piala Asia 2023 dan Piala Suzuki AFF.

Menurut laporan daripada New Straits Times, dua negara yang akan menguji kekuatan skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu ialah Jordan (ranking 93 dunia) dan Uzbekistan (ranking 84 dunia).

Difahamkan, dua aksi tersebut akan berlangsung di Amman, Jordan pada tarikh Jendela Perlawanan Antarabangsa FIFA iaitu 4 Oktober hingga 12 Oktober 2021.

“Setakat ini, persiapan menghadapi perlawanan persahabatan itu berjalan lancar. Saya berharap perancangan kami dapat diteruskan kerana disebabkan oleh COVID-19, sukar untuk dipastikan,” kata pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe dalam NST.

FOTO: FAM

Bulan lepas, permohonan FAM untuk mengadakan dua perlawanan antarabangsa di negara ini tidak mendapat kelulusan daripada kerajaan susulan peningkatan kes wabak COVID-19.

Tan Cheng Hoe turut mendedahkan akan memanggil beberapa pemain yang berpengkalan di luar negara seperti Dion Cools (FC Midtjylland), Luqman Hakim (KV Kotrijk) dan dua pemain yang beraksi di Thailand.

“Perlawanan ini berlangsung pada tarikh perlawanan antarabangsa FIFA, kami akan memanggil pemain seperti Cools, Luqman Hakim, Dominic dan Junior Eldstal.

“Kalau di luar kalendar FIFA, kami tidak boleh panggil mereka kerana mempunyai masalah untuk mendapat pelepasan daripada pihak kelab,” jelas Cheng Hoe.

Saingan Liga Super 2021 telah berakhir pada 12 September lalu dan peminat bola sepak tempat mengesa agar Cheng Hoe memanggil pemain pertahanan kiri iaitu Daniel Ting.

Daniel Ting
Sumber Gambar: KL City

Daniel tersenarai dalam kesebelasan utama terbaik saingan Liga Super musim 2021 versi Vocket FC dan ramai menganggap pemain berusia 28 tahun itu layak dipanggil ke skuad Harimau Malaya setelah menampilkan prestasi cemerlang bersama KL City musim ini.

Gesaan dari peminat ini timbul setelah Cheng Hoe hanya memanggil seorang sahaja pemain pertahanan kiri iaitu La’Vere Corbing-Ong dan meletakkan Syahmi Safari sebagai pemain sandaran pada saingan kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang berlangsung di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun lalu.

Baca juga artikel lain mengenai perkembangan Harimau Malaya melalui pautan dibawah.

Tawaran TMJ Uruskan Skuad Harimau Malaya Ditolak

Merchandise Rasmi Harimau Malaya Kini Boleh Didapati Di Al-Ikhsan Sports

FAM Tangguh Pengambilan Pemain Naturalisasi Untuk Harimau Malaya