Juara Liga Super musim 2019, Johor Darul Ta’zim (JDT) sah menandatangani penjaga gol berdarah kacukan Malaysia-Jerman, Julian Johan Bechler bagi memantapkan lagi posisi penjaga gawang kelab tersebut.

Perpindahan Johan yang sebelum ini beraksi di Jerman disahkan oleh JDT menerusi satu pengumuman di laman media sosial rasmi kelab iaitu JOHOR Southern Tigers pada semalam. Turut hadir dalam majlis menandatangani kontrak ialah Pengarah Teknikal kelab, Alistair Edwards.

Sebelum ini, penjaga gol berusia 17 tahun itu pernah beraksi bersama skuad B-19 tahun Tus Hornau, sebuah pasukan yang beraksi dalam saingan Divisyen 2 Liga Jerman. Setelah tempoh bersama Tus Hornau tamat, Johan Bechler kemudiannya menjalani latihan bersama skuad pembangunan Harimau Selatan iaitu JDT III setelah nama beliau dicadangkan oleh bekas pengendali pasukan B-19 tahun negara, Bojan Hodak yang pernah menguji Johan untuk beraksi bersama pasukan negara. Namun, penjaga gol tersebut tidak mempunyai kad pengenalan sekaligus membantutkan niat Bojan.

Julian Johan Bechler dijangka beraksi bersama Johor Darul Ta’zim III bagi memantapkan lagi kualiti beliau sebelum diserap masuk ke dalam pasukan utama ataupun JDT II. JDT turut mempunyai seorang lagi penjaga gol berdarah kacukan iaitu Samuel Somerville yang telah beraksi bersama pasukan sejak 2016.

Selain itu, Johan turut mempunyai seorang adik iaitu Josua Johan Bechler dimana pemain itu beraksi di posisi pertahanan kiri dan pernah menjalani latihan bersama JDT B-17 tahun.