Johor Darul Ta’zim sah bergelar juara Liga Super musim ini setelah menewaskan pasukan Melaka United dengan keputusan 2-1 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hang Jebat sebentar tadi.

Dua gol pada separuh masa pertama yang dijaringkan oleh Nazmi Faiz Mansor dan penyerang import, Diogo Luis Santo sudah cukup untuk memberikan kelebihan 16 mata di hadapan pasukan Pahang sekaligus memberikan kejuaraan keenam berturut-turut untuk pasukan bimbingan Luciano Figueroa itu.

Nazmi membuka tirai jaringan seawal minit ke-7 apabila beliau merembat masuk bola selepas keadaan kucar-kacir di hadapan pintu gol Melaka.

Pada minit ke-27, Diogo menggandakan kelebihan JDT apabila membuat larian solo sekaligus menewaskan penjaga gol Melaka, Khairul Fahmi Che Mat. Kedudukan kekal 2-0 sehingga wisel penamat separuh masa pertama dibunyikan.

Bersambung babak kedua, Melaka cuba bangkit namun barisan pertahanan JDT tenang mengawal setiap asakan yang diberikan oleh jentera serangan Melaka. Usaha bertali arus Melaka membuahkan hasil apabila Shukor Adan berjaya merapatkan kedudukan pada akhir separuh masa kedua.

Namun, jaringan Shukor tidak cukup untuk mengelakkan Melaka United daripada mengalami kekalahan sekaligus memberikan kejuaraan Liga Super musim ini kepada Johor Darul Ta’zim.

JDT muncul juara dimana masih berbaki empat lagi perlawanan Liga Super 2019.