Pemain kacukan Malaysia-Belgium, Johan Dion Cools membantu kelabnya, FC Midtjylland meraih satu mata ketika menerima kunjungan Liverpool dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di MCH Arena awal pagi tadi.

Midtjylland sudahpun tersingkir dari saingan musim ini serta gagal untuk layak ke saingan UEFA Europa League (UEL) setelah menduduki tangga tercorot dalam carta kumpulan D. Aksi menentang Liverpool menjadi pelengkap jadual namun skuad bimbingan Brian Priske itu masih memberikan cabaran sengit kepada juara EPL itu.

Liverpool terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit pertama perlawanan melalui Mohamed Salah. Memasuki separuh masa kedua, FC Midtjylland diberikan sepakan penalti dan pemain pertahanan, Alexander Scholz berjaya menyempurnakan sepakan tersebut.

Dion Cools diberikan kepercayaan untuk membarisi kesebelasan utama dan beliau beraksi penuh selama 90 minit. Pada perlawanan sebelumnya menentang kelab Eredivisie, Ajax Amsterdam, pemain berusia 24 tahun itu turut beraksi selama 90 minit.

Dalam lima perlawanan terakhir Midtjylland dalam semua pertandingan, Dion Cools telah tampil sebanyak empat kali dalam kesebelasan utama dan beliau mengutip minit permainan penuh pada keempat-empat perlawanan yang dihadapi.

Perkara ini menjadi indikasi bahawa Dion sudah serasi dengan pecaturan yang diterapkan oleh jurulatih dan beliau juga berjaya menampilkan prestasi terbaik ketika diturunkan.

Baca artikel lain mengenai Johan Dion Cools di sini:

FC Midtjylland Tewaskan FC Copenhagen, Johan Dion Cools Beraksi 90 Minit

UCL: Johan Dion Cools Kecewa FC Midtjylland Tewas Kepada Ajax Amsterdam

FC Midtjylland Raih Kemenangan, Johan Dion Cools Beraksi Penuh 90 Minit