Pemain kacukan Malaysia-Belgium, Johan Dion Cools dikhabarkan bakal kembali ke saingan Jupiler Pro League Belgium setelah setahun meninggalkan liga tersebut.

Menurut perkongsian Harimau Abroad di laman media Twitter, wartawan dari Belgium iaitu Florian Holsbeek mendedahkan Dion bakal menyertai Sint-Truidense VV bagi mengharungi saingan separuh masa kedua musim 2020/2021.

Setelah lima setengah musim beraksi di Belgium bersama dua kelab iaitu OH Leuven dan Club Brugge, Dion mengambil keputusan untuk berhijrah ke Denmark pada awal 2020 dengan menyertai FC Midtjylland.

Keputusan ini diambil oleh Dion setelah beliau jarang mendapat tempat dalam kesebelasan utama Club Brugge dan sering dijadikan pemain simpanan dalam perlawanan liga.

Bersama FC Midtjylland, pemain berusia 24 tahun itu membantu kelab tersebut mara ke saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan turut membuat penampilan dalam beberapa perlawanan peringkat kumpulan ketika menentang Ajax Amsterdam dan Liverpool.

Johan Dion Cools
Sumber Gambar: FC Midtjylland

Akan tetapi, Midtjylland gagal mara ke peringkat seterusnya setelah menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga tercorot dengan mengutip dua mata selepas enam perlawanan.

Jika kembali ke saingan Jupiler Pro League, maka Johan Dion Cools akan beraksi bersama seorang lagi pemain Malaysia iaitu Luqman Hakim yang ketika ini menyarung jersi KV Kortrijk.

Johan turut memberi kata-kata semangat dan sokongan ketika Luqman tiba di Belgium pada Ogos lalu.

Baca artikel lain mengenai perkembangan pemain Malaysia yang beraksi di luar negara di sini:

Media Thailand Dedahkan Police Tero FC Dan Sumareh Berpisah, Tiada Kontrak Lanjutan Selepas 111 Minit Beraksi

Proses Pemulihan Luqman Hakim Berjalan Lancar

Wan Kuzain Tidak Akan Beraksi Di Liga Malaysia Musim Hadapan