Manchester City membuat kejutan pada jendela perpindahan musim sejuk kali ini apabila melepaskan tonggak utama, Joao Cancelo untuk dipinjamkan kepada kelab gergasi Jerman, Bayern Munich.

Cancelo yang memainkan peranan penting dalam membantu The Cityzens muncul juara Liga Perdana Inggeris (EPL) dua musim berturut-turut itu dipinjamkan sehingga hujung musim.

Malah, Bayern turut diberikan pilihan untuk membawa masuk Cancelo secara tetap pada musim hadapan sekiranya berminat dengan nilai berjumlah €70 juta.

Perkembangan mengenai Joao Cancelo itu disahkan oleh wartawan bola sepak terkenal dunia, Fabrizio Romano dimana beliau mendedahkan persetujuan telah dicapai oleh semua pihak untuk merealisasikan penghijrahan mengejutkan ini.

Menurut sumber Goal, keputusan ini terpaksa diambil selepas Cancelo dikatakan menganggu keharmonian pasukan kerana beliau terlalu lantang mengkritik Guardiola ekoran kurang mendapat minit perlawanan selepas berakhirnya Piala Dunia.

Permulaan musim 2022/23 menyaksikan Cancelo masih mendapat kepercayaan Guardiola sehingga turut berjaya menjaringkan dua gol dan mencipta lima bantuan jaringan.

Tetapi, beliau hanya membuat tiga penampilan sebaik sahaja selepas aksi liga kembali bersambung dan langsung tidak diturunkan pada tiga perlawanan terakhir.

Sehubungan dengan itu, pengendali kelahiran Sepanyol tersebut lebih banyak memberikan ruang buat Nathan Ake untuk beraksi di posisi bek kiri.

Selepas mengharungi 20 aksi liga, Manchester City berada di tangga kedua dengan kekurangan lima mata dibelakang pendahulu liga, Arsenal yang masih kekurangan satu perlawanan.